Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Kereta terlibat kemalangan terbakar

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Dua buah kereta telah dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya, yang mana salah sebuah daripadanya terbakar berlaku di kawasan Lebuh raya Hassanal Bolkiah, kelmarin.

    Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), sembilan anggota bomba dan dua buah jentera dari Balai Bomba Berakas, Cawangan Operasi C yang diketuai oleh SO Norhermi bin Mohd Nor dikejarkan ke tempat kejadian tersebut.

    JBP dalam kenyataannya mengatakan bahawa selepas mereka menerima panggilan kecemasan, didapati dua buah kereta telah terlibat dalam insiden tersebut, yang mana salah sebuah daripadanya telah terbakar di bahagian hadapan.

    Anggota bomba dan penyelamat bertindak dengan segera membuka bahagian hadapan kereta menggunakan crowbar sekaligus memadam kebakaran.

    Menurut JBP, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca dan anggaran kerugian serta mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) oleh orang awam sebelum jentera bomba sampai.

    Keadaan salah sebuah kereta yang terlibat dalam kejadian kemalangan berkenaan.

    Sehubungan itu, JBP menyarankan kepada pengguna sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan.

    Selain itu, jabatan juga menasihatkan untuk sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem eletrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah.

    Ini kerana arus eletrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran, selain perlu sentiasa berhati-hati, mematuhi undang-undang, peraturan jalan raya dan mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pengguna jalan raya lain.

    JBP turut mengingatkan untuk mengelakkan memakan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mengantuk ketika hendak memandu.

    Di kesempatan ini, JBP ada menyediakan program-program seperti Kursus Life Saver 995, Marsyal Bomba dan Taklimat Keselamatan Kebakaran, bagi meningkatkan pengetahuan mengenai aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul penggunaan alat pemadam api.

    Jika berlaku sebarang insiden kecemasaan hendaklah berhubung terus kepada pusat gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...