Thursday, September 29, 2022
22.6 C
Brunei

Kereta vintaj pamerkan gaya kisah lalu Iran

-

TEHRAN – Sebelum mereka digulingkan oleh revolusi Islam 1979, keluarga diraja Iran menikmati gaya hidup mewah dengan minat terhadap kenderaan laju yang tidak seperti mana-mana yang pernah dibina.

Kini, selepas setengah abad berlalu, kenderaan-kenderaan kenamaan kembali dipamerkan, dengan Muzium Kereta Bersejarah Iran telah menarik ribuan orang sejak dibuka kepada orang ramai dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Kami menganggap bahawa kereta ini adalah sebahagian daripada warisan budaya Iran,” kata pengarah muzium, Mohammed Faal.

“Ia adalah milik rakyat, bukan kerabat diraja.”

Ia dikendalikan oleh pertubuhan Bonyad Mostazafan republik Islam itu – ‘The Foundation of the Opressed’– yang menguruskan harta rampasan rejim Shah Mohammad Reza Pahlavi yang dijatuhkan.

Sebuah kereta MPV (C) 1972 – dibangunkan dan dibina oleh tiga penghasil kereta Jerman terkenal, Mercedes-Benz, Porsche dan Volkswagen. – AFP

Pengunjung melihat Chrysler 300 1956 di Muzium Kereta Klasik Iran. – AFP

Barisan kenderaan itu mengejutkan termasuk sebuah kereta yang menggabungkan kerjasama kejuruteraan yang unik.

Pada tahun 1972, mengetahui orang shah menyukai kejuruteraan Jerman, Mercedes, Porsche dan Volkswagen bekerjasama untuk membina sebuah kereta yang belum pernah dihasilkan sebelumnya.

Mereka mencipta ‘MPV Tehran’, sebuah kereta tempat duduk tunggal berwarna jingga terang, yang merupakan ‘hadiah’ untuk membantu putera mahkota Reza, yang ketika itu berusia 12 tahun, belajar memandu.

Ia mempunyai dua kunci. Satu, diperbuat daripada perak, mengehadkan enjin berkuasa kepada kelajuan 30 kilometer sejam.

Satu lagi, dalam emas, membolehkan kenderaan itu memecut pada 170 kilometer sejam.
Walaupun kereta itu tidak berlumba sejak 1979, model-model yang tersusun rapi itu masih memberi inspirasi kepada mereka yang datang ke muzium.

Pertempuran undang-undang

Kira-kira 20,000 orang telah melawat sejak pembukaannya, lebih daripada jumlah orang yang melawat muzium negara setiap bulan.

“Saya sangat suka tempat ini, kerana ia menggabungkan beberapa perkara yang jarang kekal selepas revolusi,” kata Farzaneh, seorang pesara berusia 55 tahun.

“Objek ini membawa kita melalui sejarah kita,” tambahnya.

Berkeluasan lebih daripada satu hektar, muzium itu terletak di zon perindustrian di barat Tehran, berhampiran dengan kilang automotif negara.

Setakat ini, ia menempatkan 55 buah kereta, dua koc dan empat motosikal, salah satunya pernah dipandu oleh Farah Diba, permaisuri dan balu shah terakhir.

Tetapi 100 kenderaan lain masih berada di gudang menunggu untuk dipulihkan dengan teliti dan dipamerkan.

Pameran hadiah lain ialah Rolls-Royce Silver Ghost berwarna hitam, dikilangkan pada tahun 1922.

Kereta ini terkenal bukan kerana rupa bentuknya yang mewah, tetapi kerana republik Islam itu mengekalkan permata bersejarah itu selepas pertempuran epik dengan bekas monarki yang diasingkan.

“Enam bulan sebelum revolusi, kereta itu telah dihantar ke Rolls-Royce untuk dibaiki,” kata Faal, pengarah muzium itu.

“Selepas kejatuhan monarki pada 1979, keluarga Pahlavi menuntut kilang itu mengembalikannya kepada mereka dengan mendakwa ia milik dinasti.”

Ia mencetuskan pertempuran undang-undang yang hebat.

Tetapi mahkamah British memutuskan bahawa, menurut dokumennya, kenderaan itu milik negara Iran dan bukan keluarga bekas diraja. “Kereta itu kembali ke Iran,” kata Faal.

Hadiah Hitler

Permata muzium ialah ‘Model A’ Pierce-Arrow 1930.

Pada masa itu ia adalah antara kereta termahal yang dibina di Amerika Syarikat – dan dibeli oleh Reza Shah, pengasas dinasti Pahlavi.

Tanda harganya ialah AS$30,000, bersamaan dengan satu perlapan daripada belanjawan negara Iran pada masa itu dan didatangkan lengkap dengan bampar dan lampu depan bersalut emas.

Kereta itu, dengan lambang empayar dipasang di pintunya, digunakan oleh Shah semasa menghadiri majlis termasuk perkahwinannya dengan isteri keduanya, Soraya dan pada pengebumian bapanya, Reza.

Tetapi apabila Shah diturunkan dari takhta dan dibuang negeri 42 tahun lalu, kereta tersebut kekal.

“Tidak kira siapa yang memiliki kereta-kereta ini, ia adalah milik negara Iran, bukan raja tertentu,” tambah Faal.

“Kami suka mengagumi keindahan kenderaan itu dengan mengambil kira sejarahnya dan kami menghargai usaha syarikat pengeluar dan pereka-perekanya.”

Satu lagi kegemaran pengunjung ialah Mercedes 500 K Autobahn Kurier 1934, hadiah daripada Adolf Hitler kepada Reza Shah.

Kereta itu adalah yang terakhir seumpamanya; daripada enam yang telah dihasilkan oleh syarikat Jerman tersebut, yang mana lima telah musnah semasa Perang Dunia II.

“Mercedes menawarkan untuk membelinya pada harga yang kami akan tetapkan, kerana firma itu tidak sabar untuk memilikinya di muziumnya,” kata Faal.

“Tetapi, kami menolaknya.” – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Penjawat awam dilarang luah pendapat di media sosial

COLOMBO, 28 SEPT – Sri Lanka hari ini mengarahkan penjawat awam untuk tidak meluahkan pendapat mereka di media sosial selepas beberapa orang pegawai mendakwa...
- Advertisment -