Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bincang permasalahan semasa

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 19 Julai – Majlis Perjumpaan Koperasi-koperasi Daerah Belait bersama Gabungan Koperasi National (GKN) telah diadakan di Dewan Serba Guna Bangunan Koperasi Perniagaan dan Perusahaan Melayu Berhad, di sini, hari ini.

    Perjumpaan tersebut antara lain bertujuan untuk berkongsi maklumat, berbincang dan seterusnya mendapatkan pandangan serta ketetapan mengenai beberapa projek berskala kecil dan besar di mana penyelidikan mengenainya telah pun dibuat sebelum ini.

    Antara projek yang dirancang termasuklah bagi mengusahakan Gedung Rakyat, mengendalikan Ekspo Koperasi Nasional dan pengendalian Perkhidmatan Audit. Kesemua projek yang dirancang dihasratkan untuk menyatupadukan semua koperasi di seluruh negara bagi sama-sama membangunkan kegiatan ekonomi terutama sekali di luar bandar.

    Timbalan Yang Di-Pertua GKN, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Laila Perkasa Kolonel (B) Dato Paduka Haji Mahdini bin Dato Paduka Haji Basir, semasa berucap pada majlis tersebut menekankan, mereka telah mengorak langkah pada awal tahun ini dengan rancangan projek yang dinamakan ‘Persidangan dan Ekspo Koperasi’ yang dicadangkan untuk dikendalikan bersama Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri.

    Menurutnya, melalui persidangan itu mereka sama-sama akan mengetahui peranan yang akan diusahakan jabatan berkenaan demi masa depan koperasi-koperasi di negara ini.

    Antara yang menghadiri majlis perjumpaan itu.
    Antara yang menghadiri majlis perjumpaan itu.

    Di samping itu juga bagi menggalakkan pameran produk-produk tempatan yang dihasilkan oleh majlis-majlis perundingan mukim dan kampung melalui Satu Kampung Satu Produk. Dalam masa yang sama, pameran koperasi-koperasi dalam negara akan turut mengundang koperasi dari negara jiran yang akan mempamerkan tentang organisasi, pentadbiran dan produk-produk serta pemasaran yang mantap sehingga mencapai kemajuan yang mengagumkan.

    Beliau menjelaskan lagi, projek yang akan diusahakan bersama Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei dinamakan ‘Gedung Rakyat’ adalah sebagai usaha untuk menyaingi kedai di kampung-kampung yang semakin membesar tetapi diusahakan oleh kalangan warga asing.

    Selain itu, ia juga dihasratkan untuk menghidupkan semula kedai-kedai koperasi di kampung-kampung yang telah ditutup kerana persaingan yang begitu hebat tidak dapat dipertahankan.

    “Seterusnya dalam usaha untuk mempercepatkan kerja-kerja pengauditan koperasi-koperasi, GKN telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan ‘Kumpulan Audit’ bagi membantu koperasi yang dibebani oleh berbagai-bagai masalah seperti laporan kewangan dan sebagainya.

    “Dengan adanya inisiatif seperti itu akan sama-sama bergerak kepada koperasi yang maju dan mampu mengadakan mesyuarat agung yang telah ditetapkan oleh undang-undang koperasi,” katanya.

    Sementara itu, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman, dalam ucapannya yang disampaikan oleh wakil beliau menyatakan, usaha GKN mempelawa koperasi-koperasi dalam sama-sama mengendalikan projek-projek berkenaan merupakan satu langkah yang wajar dan strategik.

    Menurutnya, dalam dunia perniagaan di abad ini, penubuhan Rakan Strategik Perniagaan atau penyatuan atau penggabungan dalam kalangan syarikat adalah suatu perkara yang sudah lazim dilaksanakan terutama di kalangan syarikat-syarikat besar.

    Beliau juga berkata, koperasi-koperasi yang ada di negara ini perlu bersifat terbuka dan perlu bersedia menerokai peluang-peluang yang ada khususnya bagi mengukuhkan lagi organisasi dan perniagaan koperasi masing-masing di samping menerokai peluang-peluang bagi membantu masyarakat peniaga lainnya.

    Beliau juga percaya bahawa koperasi-koperasi akan turut sama berperanan bagi menjayakan Wawasan Negara 2035, jika projek-projek yang dirancang berjaya dilaksanakan.

    Sumbangan daripada pergerakan/perniagaan koperasi-koperasi di negara ini kepada pertumbuhan ekonomi negara, tambahnya lagi, akan lebih ketara dan setentunya menghasilkan impak yang lebih signifikan kepada pembangunan dan kemajuan masyarakat serta kemakmuran negara.

    Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi Koperasi Perniagaan dan Perusahaan Melayu Berhad Seria, Haji Ahmad bin Haji Hassan serta wakil-wakil dari koperasi-koperasi yang berdaftar dan masih aktif di daerah ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda