SANDAKAN, 4 Jun – Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah mahu kerja-kerja pembaikan kerosakan penghawa dingin Perpustakaan Sandakan disiapkan segera dalam tempoh tiga bulan.
Stephen Wong Tien Fatt berkata peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan itu sudah tersedia, namun ia mengambil masa disebabkan proses tender yang belum diselesaikan Jabatan Kerja Raya.
Katanya lagi beliau juga telah membawa perkara tersebut dalam mesyuarat Kabinet Negeri Sabah pada bulan lepas untuk diambil tindakan secepat yang mungkin.

“Masalah ini akan saya pastikan diselesaikan, sejajar dengan komitmen kerajaan negeri yang diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk memberi perhatian kepada keperluan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas selesai lawatan kerja di Perpustakaan Sandakan di sini, hari ini.
Hadir sama Pembantu Menterinya Norazlinah Arif, Setiausaha Tetap kementerian Janet Chee dan Pengarah Perpustakaan Sabah Wong Vui Yin. – Bernama