Thursday, June 8, 2023
27.2 C
Brunei

    -

    Kerja berpasukan jamin kesempurnaan sambutan ulang tahun keputeraan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Sokongan padu semua pihak serta semangat kerja berpasukan seperti yang ditunjukkan semasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tahun lalu, perlulah dikekalkan bagi memastikan acara-acara sambutan perayaan tahun ini juga akan dapat dilaksanakan dengan teratur dan sempurna seperti tahun-tahun sebelumnya.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong (gambar-bawah) selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 dalam ucapan alu-aluannya pada mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Perdana Menteri, di sini, kelmarin.

    Beliau berkata bahawa pada tahun ini, negara juga masih berdepan cabaran-cabaran sama terutama COVID, oleh itu, adalah mustahak untuk jawatankuasa-jawatankuasa kerja yang berkenaan untuk berusaha mengatasi perkara-perkara berkenaan menerusi perundingan dan permuafakatan bersama-sama agensi-agensi yang berkenaan.

    Yang Berhormat Pehin berkata lagi, kejayaan dan penglibatan semua pihak dalam pengendalian acara-acara sambutan perayaan adalah juga membuktikan komitmen, tanda cinta dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Baginda Sultan selaku raja dan pemimpin tertinggi Negara Brunei Darussalam yang mengasihi, memeduli dan prihatin terhadap kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk di Brunei.

    “Sambutan ini adalah juga merupakan salah satu acara sambutan yang sangat penting dan bermakna bagi seluruh lapisan rakyat dan penduduk negara ini dan juga turut mendapat perhatian dari negara-negara luar.”

    Ulas Yang Berhormat Pehin lagi, “Acara-acara sambutan perayaan khususnya Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat merupakan peluang yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini untuk bersua muka dengan raja yang dikasihi.”

    Beliau berkata bahawa selain sebagai wadah perpaduan masyarakat pelbagai lapisan di negara ini, sambutan perayaan ulang tahun keputeraan juga merupakan satu manifestasi rasa kesyukuran atas nikmat keamanan dan kemakmuran negara ini di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    “Apa yang lebih membanggakan, ialah penglibatan golongan generasi muda yang terdiri daripada para belia dan penuntut-penuntut sekolah yang turut berpeluang untuk membuat persembahan bakat masing-masing.”

    Beliau berkata penglibatan golongan generasi muda itu juga merupakan lambang pengukuhan jati diri dan semangat kebangsaan yang menjadi teras kemajuan dan pembangunan Brunei pada masa ini dan akan datang.

    Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya lagi, menyatakan harapan supaya jawatankuasa-jawatankuasa akan dapat membuat penambahbaikan berpandukan pengalaman pada tahun lalu dan akan dapat melaksanakan acara-acara yang dirancang dengan komitmen, semangat kerjasama erat dan padu.

    “Apatah lagi, dalam kita menghadapi cabaran waktu yang singkat dan situasi yang sukar diramal dalam Fasa Endemik COVID.”

    Beliau menekankan, “Dalam membuat persediaan bagi mengatur rancangan sambutan ini, adalah mustahak supaya kita memberikan perhatian serius kepada aspek kesihatan, keselamatan, keamanan dan persekitaran (HSSE) bagi memastikan keselamatan peserta yang mengambil bahagian, dan orang ramai dalam keadaan selamat.”

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Australia haram simbol Nazi

    SYDNEY, 8 JUN - Australia pada hari Khamis mengumumkan ia akan melarang pameran awam simbol Nazi, ketika negara itu bergumul dengan kumpulan kecil ekstremis...
    - Advertisment -