Kerja keras capai kejayaan

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 11 Jan – Sebagai sebahagian daripada aktiviti tahunan sekolah, Sekolah St James baru-baru ini telah mengadakan program orientasi untuk pelajar Tahun 5 hingga Tahun 11 yang diadakan di sekolah berkenaan.

Pada program orientasi tersebut, Pengetua sekolah berkenaan, Dayang Riman binti Sitai menyeru para pelajar untuk faham dan merenung sejenak kenapa mereka berada di sekolah. Dalam pada itu juga, beliau mencabar setiap pelajar yang akan menduduki peperiksaan terutama sekali pelajar Tahun 11 untuk bekerja keras bagi menghadapi Peperiksaan BCGCE Peringkat ‘O’.

Beliau juga menekankan kepada para pelajar untuk mengubah sikap mereka dan membuktikan bahawa segala pertolongan yang diberikan oleh ibu bapa dan penjaga kepada mereka adalah berbaloi.

Sementara itu, Ketua Disiplin sekolah, Haji Daud bin Akup menegaskan mengenai peraturan dan prosedur sekolah dan mengingatkan untuk sentiasa berkelakuan baik semasa di sekolah.

Pada program itu juga para pelajar berpeluang untuk menonton video motivasi berkenaan dengan kesungguhan, belajar bersungguh-sungguh, kesedaran diri, kemenangan dan sikap positif serta cara-cara untuk mencapai kejayaan yang disampaikan oleh Timbalan Pengetua, Leonardo Amo. Program itu turut menyaksikan upacara penandatanganan kain rentang untuk menunjukkan komitmen para pelajar bagi melakukan yang terbaik dari segi akademik dan kokurikulum pada tahun ini dan seterusnya.

Acara seumpama ini diadakan untuk memberigakan mengenai kepentingan pendidikan serta memberikan penerangan mengenai kepentingan untuk lulus dalam peperiksaan, memberi motivasi dan menanamkan sikap disiplin di kalangan pelajar.