Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerja-kerja bersihkan kubur giat dilaksanakan

    Oleh Syahmi Hassan dan Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Dengan kedatangan bulan Ramadan yang bakal menjelang dalam beberapa hari sahaja lagi, pelbagai pihak di negara ini semakin giat mengadakan kempen kebersihan di tanah-tanah perkuburan.

    Antara yang mengadakan aktiviti berkenaan hari ini, adalah Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kulapis, MPK Katimahar/Lugu, Jawatankuasa Takmir Masjid Pehin Khatib Abdullah Kampung Kulapis dan Jawatankuasa Takmir Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien di tanah perkuburan Islam di Jalan Katimahar.

    Juga hadir memberikan sokongan padu dan sekali gus menjayakan majlis itu adalah rombongan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dari Balai Polis Sengkurong serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jerudong serta ahli-ahli MPK, jemaah masjid dan penduduk dari kedua-dua kampung tersebut.

    Pemangku Ketua Kampung Katimahar/Lugu, Haji Bujang bin Haji Abdul Ghani berkata, acara kerjasama yang julung-julung kalinya diadakan itu adalah sebagai rintis kepada banyak lagi usaha bersama kedua-dua MPK bersama agensi kerajaan dan swasta di masa akan datang.

    Beliau melahirkan rasa besar hati dengan adanya kerjasama agensi-agensi kerajaan bersama MPK dan penduduk kampung.

    Gotong-royong di tanah perkuburan Jalan Katimahar.
    Dr Muhammad Hiza Wardy bergambar ramai dengan kakitangan JPMC, ahli persatuan Independent Bimmer Brunei dan Vellfire Alphard Brunei di Tanah Perkuburan Islam Jelutong, Kampung Jerudong.

    “Saya yakin dengan adanya usaha seperti ini akan memperkukuhkan lagi persaudaraan, persahabatan dan silaturahim yang sewajarnya kita pelihara seperti yang dianjurkan dalam agama Islam,” ujuarnya.

    Pemangku Ketua Kampung Kulapis, Awang Mohamad Asyramisyanie bin Kamis ketika ditemui pula berkata, “Sepakat dalam menjayakan apa jua acara adalah kunci utama kejayaan dalam mengadakan apa jua aktiviti dan merupakan aspek paling penting dalam membentuk satu komuniti yang aman dan harmoni.”

    Majlis kemudiannya ditutup dengan cara bacaan Tahlil dan Doa Selamat. Sementara itu, baru-baru ini, Jerudong Park Medical Centre(JPMC) dengan kerjasama MPK Jerudong A dan B turut menganjurkan kempen serupa di Tanah Perkuburan Islam Jelutong, Kampung Jerudong.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Pengarah Perubatan JPMC, Dr Muhammad Hiza Wardy bin Haji Abd Halim yang turut menyertai kempen tersebut bersama-sama lebih 50 kakitangan. Kempen yang turut disertai oleh persatuan Independent Bimmer Brunei dan Vellfire Alphard Brunei itu merupakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ramadan Jubli Perak ke-25 tahun JPMC.

    Ia bertujuan untuk memupuk semangat khidmat masyarakat dan kerja berpasukan dalam kalangan pekerja serta semangat untuk berbakti kepada masyarakat dan merancang lebih banyak aktiviti sempena bulan Ramadan yang bakal tiba.

    Kempen berkenaan diakhiri dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Eksekutif Sumber Manusia JPMC, Awang Muhammad Amin bin Haji Mahari.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda