Kerja-kerja membaik pulih di beberapa kawasan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan, dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan kepada pengguna jalan raya mengenai beberapa penutupan sementara sebahagian jalan bagi pelaksanaan kerja-kerja membaik pulih di beberapa kawasan di sekitar Brunei dan Muara dan Daerah Belait.

Penutupan sementara di Jalan Bunga Kenanga, Seria dan beberapa tempat letak kereta berhampiran kawasan berkenaan yang mula ditutup pada 19 Februari lalu, adalah bagi memberi laluan bagi pelaksanaan kerja-kerja membaik pulih paip pembetung yang pecah berhampiran jalan berkenaan yang akan mengambil masa selama satu bulan.

Sementara itu, penutupan sementara separuh jalan di sebahagian Lebuh raya Sultan Hassanal Bolkiah hala Subok hari ini telah dimulakan pada jam 10 pagi sehingga kerja-kerja pembaikan selesai.

Penutupan jalan berkenaan adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan penutup lurang-lurang pembetungan di kawasan berkenaan dapat dilaksanakan.

Sehubungan dengan itu, JKR mengingatkan kepada para pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati apabila melalui kawasan itu di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas dan mematuhi had laju yang dibenarkan.

Sebahagian Lebuh raya Sultan Hassanal Bolkiah hala Subok yang akan ditutup sementara sehingga kerja membaik pulih selesai.