Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan orang ramai bahawa kerja-kerja kecemasan pembaikan paip air utama di Jalan Gadong, yang bermula kelmarin, telah siap dilaksanakan pada pukul 12 tengah hari tadi.
Sehubungan itu, JKR dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menyatakan bahawa bekalan air akan beroperasi kembali seperti biasa, walau bagaimanapun pemulihan bekalan air berkenaan adalah secara berperingkat dan berbeza dari satu kawasan ke kawasan bergantung pada lokasi geografi dan altitud kediaman pengguna.
Oleh itu, beberapa buah kawasan akan masih menerima tekanan air rendah atau tiada bekalan air sehingga bekalan air pulih seperti biasa di mana kawasan-kawasan yang terlibat termasuk Perpindahan Kampung Lugu, keseluruhan Bandar Seri Begawan, Kampong Ayer, Kampung Subok, Kampung Lumapas, The Empire Brunei, Pusat Komersial Airport Mall, Pusat Komersial Serusop, Mukim Gadong ‘A’ dan ‘B’, Mukim Pengkalan Batu, Mukim Kilanas, Mukim Berakas ‘A’ dan ‘B’ serta sekitarnya.




























