Kerja-kerja pemulihan landasan 3 di KLIA siap – MAHB

KUALA LUMPUR, 9 OGOS – Kerja-kerja pemulihan landasan ketiga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memastikan keselamatan berterusan bagi operasi penerbangan telah selesai, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengendali lapangan terbang itu berkata kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh dijalankan mengikut Pelan Induk Kemampanan Landasan KLIA.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata walaupun langkah kawalan kos dilaksanakan secara agresif susulan kesan COVID-19 terhadap industri penerbangan namun pihaknya meneruskan pelaburan misi penting seperti penggantian aset lama serta kerja-kerja pemulihan landasan.

“Penyiapan kerja-kerja pemulihan di Landasan 3 itu adalah tepat pada masanya seiring dengan kita mulai menyaksikan keyakinan semakin bertambah terhadap keselamatan perjalanan udara dan jumlah trafik meningkat tiga kali ganda dibandingkan pada bulan-bulan sebelumnya.

“Kami juga akan memulakan fasa kedua Pelan Induk Kemampanan Landasan iaitu dengan kerja-kerja di Landasan 1 akan bermula dari November 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerja-kerja pemulihan adalah merangkumi terutama kerja-kerja penurapan dan menambah baik penyaliran bagi permukaan landasan. – Bernama