Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerja pembersihan selepas taufan

    HONG KONG, 17 Sept – Hong Kong hari ini memulakan kerja-kerja pembersihan secara besar-besaran selepas Taufan Mangkhut melanda bandar itu, menumbangkan pokok-pokok dan mencetuskan banjir yang merosakkan, dalam bencana yang telah mengorbankan berbelas-belas orang di Filipina dan berjuta-juta orang dipindahkan di selatan China.

    Angka kematian di Filipina yang mana pulau utama Luzon telah dilanda dengan angin amat kencang dan hujan, meningkat kepada 65 orang semalam ketika para penyelamat berusaha mengeluarkan lebih banyak mayat dari kejadian besar tanah runtuh di bandar gunung Itogon.

    Tanah runtuh telah menimbus sebuah perlindungan kecemasan yang digunakan oleh para pelombong dan keluarga mereka di bandar itu.

    Tidak seorang pun yang dikeluarkan dari runtuhan dalam keadaan masih bernafas dan kaum keluarga mangsa yang tertimbus turut serta dalam usaha menyelamat, datuk bandar bagi bandar itu, Victoria Palangdan memberitahu AFP.

    Jurucakap polis kebangsaan Superintenden Kanan Benigno Durana berkata 43 orang dilaporkan hilang dan lebih 155,000 orang masih berada di pusat pemindahan dua hari selepas taufan melanda.

    Seorang budak lelaki mengangkat sebatang kayu semasa kerja-kerja pembersihan di perkampungan Lei Yue Mun kelmarin, selepas Taufan Mangkhut melanda Hong Kong. – AFP

    Ladang-ladang di seluruh utara Luzon, yang menghasilkan kebanyakan beras dan gandum negara itu, ditenggelami air banjir berlumpur, tanaman mereka musnah sebulan sebelum dituai.

    Di bandar metropolitan, Hong Kong, kerajaan menyifatkan kerosakan sebagai ‘teruk’ dengan lebih dari 300 orang cedera akibat Mangkhut, yang mengundang amaran taufan maksimum ‘T10’.

    Tugas besar membersihkan bandar bermula ketika para penduduk, kembali bekerja dalam kepayahan melalui jalan raya yang masih disekat oleh pokok-pokok tumbang, Lumpur dan serpihan-serpihan.

    Sekolah-sekolah ditutup, perkhidmatan bas dihentikan dan gangguan perjalanan menyaksikan orang ramai yang berulang alik berasak-asak di platform untuk cuba menaiki perkhidmatan kereta api selepas pokok-pokok tumbang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda