Kerja penyelidikan di perairan Pelabuhan Muara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) mengingatkan para pelaut bahawa kerja-kerja penyelidikan arus, sedimen dan kualiti air sedang dijalankan di perairan Pelabuhan Muara bermula dari 11 Jun hingga 31 Julai.

PBMP dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menjelaskan bahawa kerja-kerja berkenaan akan dilaksanakan oleh Syarikat DHI Water & Environment (B) Sdn Bhd, oleh itu, ia akan menyebabkan pembatasan kepada keselamatan pelayaran.

Ia akan melibatkan penyelidikan arus yang dilaksanakan menggunakan pemasangan Acoustic Doppler Current Profiler (ADCP) oleh penyelam skuba, pengambilan contoh sedimen dari bot menggunakan Van Veen Grab dan pengambilan serta merekodkan contoh air dari bot juga in-site dengan menggunakan alat water quality probe.

Semasa kerja-kerja berkenaan, aktiviti penyelaman skuba turut dijalankan di mana aktiviti penyelidikan dan penyelaman skuba akan ditandakan dengan bendera alpha bagi menunjukkan dan memaklumkan ada penyelam di bawah air serta dikehendaki bagi setiap pelaut untuk memperlahankan perahu me-reka ketika menghampiri kawasan terbabit.

Semboyan juga akan dibunyikan bagi mana-mana kapal yang menghampiri perahu penyelidik.

Dalam hubungan itu, para pelaut terutamanya para nelayan tempatan dikehendaki untuk menjauhi diri sekurang-kurangnya 20 meter dari zon aktiviti dan perkakasnya.

Pada masa yang sama, pemilik kapal, nakhoda kapal dan orang yang bertanggungjawab ke atas kapal hendaklah mematuhi notis itu di mana kegagalan berbuat demikian, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi $10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kenyataan menyatakan bahawa Syarikat DHI Water & Environment (B) Sdn Bhd akan sentiasa memantau perjalanan operasi dan bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Juruteknik Kaji Selidik, Andy Yong Yi Hong di talian 8768809.