TALLINN, Estonia, 14 Jan – Perdana Menteri Jepun berkata semalam negaranya telah memeterai perjanjian dengan Estonia, Latvia dan Lithuania untuk merangsang hubungan ekonomi dan politik dengan ketiga-tiga negara bekas republik Soviet itu.
Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Perdana menteri Latvia Maris Kucinskis berkata selepas mesyuarat di Riga, ibu negara Latvia, bahawa teknologi maklumat, pengangkutan dan perubatan adalah bidang di mana Jepun melihat potensi perniagaan paling banyak di negara-negara Baltik.
Abe memuji pelabuhan kargo di Riga sebagai ‘pusat pengangkutan dan logistik yang berjaya’ yang akan membenarkan pembekal Asia untuk menghantar barangan ke rantau itu.
Perjanjian perdagangan empat hala Jepun-Baltik mungkin memberikan faedah hanya kepada Tokyo sebaik sahaja perjanjian perkongsian yang lebih besar di antara Kesatuan Eropah dan Jepun disahkan.

Abe, diiringi satu delegasi perniagaan Jepun yang cukup besar, dan Kucinskis menyeru perjanjian perdagangan EU-Jepun yang dicapai pada Disember disahkan dengan segera.
“Saya gembira rundingan perjanjian perkongsian ekonomi di antara Jepun dan Kesatuan Eropah telah pun berakhir,” menurut Abe, merujuk kepada perjanjian perdagangan bebas yang akan membuka pasaran EU seperti Estonia, Latvia, Lithuania kepada syarikat Jepun dan sebaliknya.
Latvia adalah negara kedua daripada enam lawatan negara Eropah yang dikunjungi oleh Abe yang bermula di Estonia pada Jumaat. Abe juga dijadualkan melawat Lithuania, Bulgaria, Serbia dan Romania. Beliau adalah perdana menteri Jepun yang pertama yang berkunjung ke negara berkenaan. – AP