WASHINGTON, 21 JULAI – Amerika Syarikat (AS) dan 17 negara sekutu lainnya telah bersetuju untuk bekerjasama dalam menambah baik dan mempelbagaikan rantaian bekalan global bagi mengelak dari kekurangan bekalan yang melanda ekonomi semasa wabak, kata pegawai kelmarin.
Setiausaha kerajaan AS, Antony Blinken dan Setiausaha Perdagangan, Gina Raimondo bersama-sama menghoskan Forum Rantaian Bekalan bersama Menteri-Menteri selama dua hari, Selasa dan Rabu.
Sementara itu, China bukan sebahagian daripada mesyuarat tersebut, dan pegawai AS berkata mereka berhasrat untuk meningkatkan persefahaman agar dapat memindahkan pengeluaran bekalan utama ke negara bersekutu.
“Rantaian bekalan global yang dikejutkan oleh wabak, peperangan dan konflik, kesan iklim yang melampau, dan bencana alam telah menyebabkan keperluan terdesak untuk mengukuhkan lagi rantaian bekalan, untuk berusaha mengurangkan dan menamatkan gangguan jangka panjang serta membina daya tahan,” kata peserta dalam satu kenyataan bersama pada acara penutup yang berlangsung secara maya itu.
Gangguan rantaian bekalan bermula semasa wabak dan menjadi bertambah teruk lagi oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine serta sekatan ketat COVID di China.
Perintah kawalan pergerakan COVID yang dikenakan di China telah menyebabkan kekurangan barang keperluan penting, terutamanya cip mikro dan alat ganti kereta, yang menyebabkan inflasi global melonjak ke paras tertinggi.
Para peserta yang hadir pada forum itu bersetuju untuk bekerjasama dalam menyelesaikan isu jangka pendek termasuk dalam isu pengangkutan dan gangguan rantaian bekalan, serta beberapa cabaran jangka panjang yang menyebabkan bekalan terdedah dan isu-isu lain menjejaskan para pengguna, perniagaan besar dan kecil, tenaga kerja, serta keluarga, menurut kenyataan itu.
Selain itu, matlamat mesyuarat itu juga termasuk ketelusan dalam maklumat urus niaga, mempelbagaikan sumber-sumber, meningkatkan kelestarian dan keselamatan rantaian bekalan. – AFP