Kerjasama banteras jenayah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Hidup berjiran merupakan solidariti berkesan dalam pembentukan hubungan harmoni selain membina tali persaudaraan yang utuh sesama insan. Justeru, hubungan kejiranan adalah penting kerana ia melibatkan kerjasama dalam segala aspek khususnya aspek keselamatan setempat.

Menyedari kepentingannya, program pengawasan kejiranan (PK) anjuran Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) diwujudkan bagi setiap kampung dalam objektif utama ‘Bersama Masyarakat Cegah Jenayah’.

Di Daerah Temburong, beberapa kawasan kampung telah dipantau oleh keanggotaan Balai Polis Bangar bersama ahli-ahli PK Kampung Puni dan Ujong Jalan.

Mengetuai rondaan ialah Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pengiran Anak Azanuddin Aman Shah bin Pengiran Anak Ismail Al-Haj bersama Penghulu Mukim Bangar, Haji Abdul Rahman bin Merusin.

Hasil rondaan yang dijalankan di tempat penurunam feri dan perahu, rumah-rumah kosong serta persekitaran jambatan persahabatan Brunei dan Malaysia, tidak ada sebarang kegiatan yang mencurigakan ditemukan.

Anggota PDB bersama beberapa penduduk setempat membuat rondaan bagi memastikan kawasan kampung sentiasa selamat dan bebas jenayah.

Rondaan juga diteruskan lagi di Daerah Brunei dan Muara melalui PK Kampung Junjongan, Limau Manis. Hadir mengetuai rondaan ialah Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Limau Manis, Inspektor Alif Nur Khaliq bin Haji Mat Rasil bersama Pemangku Ketua Kampung Junjongan, Tamam @ Haji Ahmad Shah Tamami bin Haji Timbang.

Sebelum rondaan, taklimat keselamatan diberigakan dan tumpuan rondaan adalah di kawasan kebun-kebun milik penduduk kampung bagi membuat pemantauan dan pencegahan daripada kegiatan yang negatif.

Manakala di Labi, Daerah Belait, rondaan gandingan keanggotaan Balai Polis Labi dan PK Kampung Labi juga diaktifkan dengan menumpukan kawasan rumah kediaman. Rondaaan dipimpin oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Labi, Inspektor Polis Percubaan Janatun Na’em bin Haji Abdul Rahim.

Sementara di Lamunin, Daerah Tutong pula, rondaan dijalankan dengan sokongan dan kerjasama padu oleh PK Kampung Padnunok melibatkan Pemangku Ketua Kampung, Haji Rosli bin Abu Bakar yang turun bersama anak buahnya bagi menyertai rondaan pencegahan.

Rondaan sedemikian akan terus dijalankan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat agar berganding bahu dalam menangani kegiatan yang melanggar undang-undang di negara ini.