Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Bilster Technologies, sebuah anak syarikat Kumpulan Syarikat Concepts, mencapai satu mercu tanda penting dalam kerjasamanya dengan Brother Printers apabila ia menerima anugerah Top Growth Distributor Award FY19/20 di bawah kategori pencetak, baru-baru ini.
Kedua-dua syarikat berkenaan yang telah memeterai perjanjian kerjasama pada 2017 telah menyaksikan pertumbuhan yang amat memberangsangkan dari segi jumlah pengguna di Brunei bagi mesin pencetak berkenaan.
Dalam hubungan itu, pencapaian berkenaan merupakan satu mercu tanda yang amat signifikan di mana ia tercapai menerusi usaha keras oleh kakitangan dan pengurusan Bilster Technologies, jelas Pengurus Besar Kumpulan Syarikat Concepts, Vincent Pao dalam sidang media mengenai anugerah berkenaan, hari ini.
Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Pengurus Bilster Technologies, Chua Chai Seng.
Vincent Pao turut menyatakan hasrat untuk meneruskan usaha bagi menjana pertumbuhan yang lebih meluas pada 2021 serta untuk meningkatkan lagi jumlah pengguna mesin pencetak Brother di Negara Brunei Darussalam.
