BEIJING, 7 SEPT – Usaha sama China dan negara Asia Tenggara di bawah kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) menyuntik positif kepada pembangunan serantau dan pemulihan ekonomi dunia, kata jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning.
Difahamkan, kumpulan pertama dari gerabak Unit Gandaan Elektrik (EMU) berkelajuan tinggi dan tren pemeriksaan komprehensif buatan China untuk kegunaan laluan Jakarta-Bandung sudah tiba di Indonesia mutakhir ini.
Mao berkata projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung ialah projek kerjasama ikonik antara China dan Indonesia yang berorientasikan BRI.
“Apabila siap sepenuhnya kelak, ia akan menjadi landasan HSR yang pertama di Indonesia dan juga di rantau Asia Tenggara.
“Fasiliti berkenaan akan menaik taraf kesalinghubungan Indonesia, sekali gus menjana pembangunan sosioekonomi tempatan,” katanya dalam sesi taklimat kelmarin.
Menyentuh mengenai landasan kereta api China-Laos, satu lagi projek simbolik BRI, Mao berkata projek itu menjadi pemacu dan enjin baharu bagi kesalinghubungan serta kerjasama ekonomi hingga mendapat sambutan baik daripada negara-negara serantau. Menurutnya, jumlah penumpang kereta api itu merekodkan 6.71 juta orang sejak perkhidmatan berkenaan beroperasi sembilan bulan lalu.
Dalam tempoh sama, sebanyak 7.17 juta tan kargo diangkut melalui landasan itu dan 1.28 juta tan daripadanya adalah secara rentas sempadan, dengan nilai keseluruhan mencecah RM6.45 bilion. Mao menyifatkan kedua-dua projek itu memperlihatkan sinergi China dan negara Asia Tenggara ke arah situasi sama menang menerusi kolaborasi lebih rapat.
Beliau turut meluahkan kesediaan China untuk bersama semua pihak menggalakkan perkembangan kerjasama BRI secara berkualiti tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih kukuh. – Bernama
