Kerjasama Brunei-Jepun terus diperkukuh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam turut sama-sama meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan Maharaja Jepun ke-60 tahun dengan mengadakan majlis resepsi yang berlangsung di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, malam ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan isteri, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohamad.

Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Eiji Yamamoto dalam ucapan alu-aluannya mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan beliau atas usaha Brunei sebagai negara penyelaras ASEAN untuk Jepun dari tahun 2015 hingga 2018.

Beliau turut menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kerana berkenan berangkat menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun yang telah diadakan pada bulan Oktober lalu.

“Prospek kami untuk masa depan hubungan kita kini dipenuhi dengan dinamisme positif. Brunei telah menyumbang kepada keselamatan tenaga Jepun selama beberapa dekad, dengan penghantaran gas asli cecair untuk Jepun, dan tahun lepas kami merayakan jubli emas penubuhan Brunei LNG,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa hubungan tersebut semakin berkembang, di mana mereka baru sahaja melancarkan Projek Demonstrasi Rantaian Pembekalan Hidrogen Global di Brunei, menghasilkan dan menghantar hidrogen ke Jepun November tahun lalu.

“Hidrogen adalah sumber tenaga bersih untuk generasi akan datang. Ia menunjukkan komitmen syarikat Jepun untuk menyumbang kepada masa depan yang mesra alam dan juga untuk mempelbagaikan ekonomi Brunei,” jelasnya.

Dalam hal ini, tambahnya, beliau juga boleh melihat potensi yang besar bagi pengembangan perdagangan produk pertanian antara kedua-dua negara.

Beliau kemudiannya mengongsikan bahawa Jepun akan terus menyokong Brunei dalam usahanya untuk mempelbagaikan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan.

“Pertukaran dua hala melalui sukan, budaya dan pendidikan adalah asas yang kuat bagi persahabatan kita. Selama bertahun-tahun, kami telah mempromosikan pertukaran belia menerusi program SSEAYP: (Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun), JENESYS: (Program Rangkaian Pertukaran Pelajar dan Belia Jepun–Asia Timur), dan biasiswa,” ujarnya.

“Selain itu kerjasama akademik juga sedang dijalankan, contohnya, Universiti Osaka dan UBD menyelaraskan penyelidikan bersama teknologi nano dan sains halal, manakala sekolah perubatan Kagawa University menghantar seorang profesional muda ke Brunei untuk meneroka kerjasama perubatan,” jelasnya lagi.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyentuh mengenai penerbangan terus antara Brunei dan Tokyo yang dibuka Mac tahun lepas yang menurutnya dapat memperkembangkan lagi sektor pelancongan antara kedua buah negara.

Majlis berkenaan diteruskan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, sejurus selepas penyampaian cenderahati kepada Yang Berhormat Pehin dan datin yang disempurnakan oleh TYT Eiji Yamamoto dan isteri.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, duta besar istimewa dan mutlak Jepun ke Brunei Darussalam beserta isteri masing-masing ketika sesi bergambar ramai semasa majlis tersebut.
Persembahan kebudayaan juga diadakan bagi memeriahkan majlis.