Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Kerjasama Brunei-Malaysia lestarikan warisan serumpun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Kerjasama yang erat antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang termasuk bidang seni bahasa, sastera dan budaya.

    Sehubungan itu, penganjuran Pesta Pantun Institusi Pengajian Tinggi Negara Brunei Darussalam 2022 dihasratkan untuk bukan sahaja mengeratkan hubungan kerjasama antara kedua-dua buah negara tetapi melestarikan seni bahasa, sastera dan budaya supaya ia terus menjadi warisan serumpun yang harus kita junjung serta banggakan.

    “Dalam masa yang sama, Pesta Pantun ini dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam sebagai memenuhi sebahagian objektif Diplomasi Budaya seperti yang terkandung dalam Kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia,” jelas Pesuruhjaya Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah.

    Pantun merupakan salah satu genre asli kesusasteraan menjadi wahana bagi pengucapan dalam pelbagai aktiviti kehidupan masyarakat, tambahnya lagi ketika berucap pada pertandingan akhir Pesta Pantun yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Pantun, ulasnya lagi, adalah cerminan pemikiran, akal budi serta falsafah bangsa Melayu yang terangkum dalam nilai estetika budaya Melayu sebagai penutur yang berhemah bagi menyampaikan maksud tertentu.

    “Ia menjadi wadah cipta khususnya bagi bangsa Melayu yang mengandungi jiwa, rasa, kebijaksanaan, kesaksamaan dan budi bahasa Melayu.”

    Pada masa yang sama, TYT Dato’ Raja Reza berpendapat, kajian mengenai permasalahan seperti jika pantun masih relevan, perlukah pantun diubahsuai supaya selari dengan keadaan semasa dan wajarkah pantun hanya dijadikan pelengkap atau penyedap sesuatu majlis, perlu diteruskan walaupun kajian mengenai pantun sudah banyak dilaksanakan.

    “Tidak dapat dinafikan lagi fungsi pantun terlalu tinggi darjatnya,” tambah Tuan Yang Terutama.

    Beliau seterusnya menyatakan harapan pertandingan itu akan berupaya menjadi satu landasan terbaik bagi pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi untuk mengarap dan mengembangkan bakat serta potensi mereka dalam bidang seni panting di samping melestarikan budaya khazanah bangsa.

    Pesta berkenaan dianjurkan bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UBD, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam dan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.

    TYT ‘Dato Raja Reza ketika menyampaikan ucapan di pertandingan akhir Pesta Pantun Institusi Pengajian Tinggi Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro Canselor, UBD, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...