Kerjasama diperlukan, elak sekatan menyeluruh

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Seluruh rakyat dan penduduk di negara ini diseru untuk memberi kerjasama dengan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan negara dikenakan sekatan pergerakan penuh.

Ia bukanlah suatu yang mudah dan merupakan perkara yang tidak diingini terjadi kerana jika ia dilaksanakan, seluruh rakyat dan penduduk tidak akan dibenarkan untuk melakukan perjalanan termasuklah untuk bekerja sekurang-kurangnya selama sebulan kecuali bagi anggota beruniform dan petugas Kementerian Kesihatan.

Selain itu, pelbagai impak akan terpaksa ditanggung disebabkannya bukan sahaja dari segi ekonomi, kesihatan mental dan banyak lagi. 

Seruan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini. Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan perjalanan yang tidak perlu dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara ini.