PHNOM PENH, 16 SEPT – Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen (gambar) berkata kerjasama ekonomi China-ASEAN telah menyumbang kepada pelbagai pencapaian
memberangsangkan sejak kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Rangka Kerja ASEAN-China mengenai Kerjasama Ekonomi Komprehensif pada 2002 dan perjanjian perdagangan bebas serta pelaburan lain.
Dalam ucapan yang disampaikan melalui pautan video sempena pembukaan Ekspo China-ASEAN ke-19, Hun Sen berkata kedua-dua pihak berjaya melaksanakan perjanjian perdagangan bebas China-ASEAN versi 1.0 dan 2.0 sejak beberapa tahun lalu, dan Kemboja menyokong peningkatan perjanjian kepada versi baharu 3.0, lapor Xinhua.
Beliau menyeru China dan ASEAN memperluas dan memperdalam skop kerjasama ekonomi, meminimumkan halangan perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan, serta menggalakkan pembangunan ekonomi digital, pertumbuhan hijau dan pembinaan kapasiti perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Saya yakin pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mulai tahun ini, bukan sahaja akan mewujudkan lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan untuk negara-negara di rantau ini, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ketara sektor-sektor berkaitan,” katanya.
Pelaksanaan RCEP juga akan menjadi “rangka kerja teras” untuk membina versi 3.0 bagi kawasan perdagangan bebas China-ASEAN pada masa depan, katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan China yang sentiasa menyokong pembangunan dan kemakmuran ASEAN. – Bernama