Wednesday, January 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama guna AI laksana misi keselamatan negara

    SAN FRANCISCO, 5 DIS – OpenAI dan syarikat teknologi pertahanan tentera, Anduril Industries kelmarin mengumumkan kerjasama untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam melaksanakan misi keselamatan negara.

    Kerjasama tersebut akan memberi tumpuan kepada peningkatan pertahanan terhadap serangan dron, menurut kenyataan bersama kedua-dua syarikat.

    Perkongsian itu dibuat hampir setahun selepas OpenAI menghapuskan dasar-dasarnya yang sebelum ini melarang penggunaan teknologi AI untuk tujuan ketenteraan atau peperangan.

    Anduril ditubuhkan pada 2017, merupakan syarikat teknologi yang membangunkan sistem kawalan dan pelbagai jenis dron, dengan pelanggan termasuk Amerika Syarikat (AS), Australia dan United Kingdom, seperti yang dinyatakan di laman web rasmi syarikat tersebut.

    Pada Oktober lalu, OpenAI turut mengumumkan kerjasama dengan agensi penyelidikan ketenteraan AS, DARPA, bagi meningkatkan keselamatan siber rangkaian kritikal.

    Gambar menunjukkan logo aplikasi ChatGPT yang dibangunkan oleh organisasi penyelidikan AI, OpenAI, pada skrin telefon pintar pada 27 November lalu. – AFP

    “AI adalah teknologi transformatif yang boleh digunakan sama ada untuk mengukuhkan nilai-nilai demokrasi atau menjejaskannya,” kata OpenAI dalam satu kenyataan pada masa itu.

    “Dengan perlindungan yang sesuai, AI boleh membantu melindungi orang ramai, menghalang pihak musuh dan mencegah konflik masa depan.”

    Kedua-dua syarikat menyatakan kerjasama itu akan membantu AS mengekalkan kelebihan berbanding China, matlamat yang pernah disebut oleh Ketua Eksekutif OpenAI, Sam Altman.

    “Kerjasama kami dengan Anduril akan memastikan teknologi OpenAI melindungi anggota tentera Amerika Syarikat, selain membantu komuniti keselamatan negara memahami dan menggunakan teknologi ini secara bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan kebebasan warganegara,” kata Altman dalam kenyataan itu.

    Anduril diasaskan bersama oleh Palmer Luckey, selepas syarikat sebelumnya, Oculus VR, dijual kepada Facebook dengan nilai AS$2 bilion.

    Kerjasama baharu itu akan menggabungkan model AI OpenAI dengan sistem dan perisian Anduril, menurut kenyataan tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda