BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Kerjasama institusi pengajian Islam di Negara Brunei Darussalam dan serantau amat penting dalam memperkasakan ilmu pengetahuan yang bersifat holistik dan progresif selari dengan objektif menjadikan nusantara sebagai model pembangunan Islam yang mapan dan dinamik.
Dekan Fakulti Pembangunan Pengurusan Islam (FPPI) Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Shahrul Nizam Salahudin berkata demikian ketika mempengerusikan Kolokium dan Seminar Perkembangan Islam dan Peradaban Melayu di UNISSA, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis anjuran UNISSA dan Fakultas Adab dan Humaniora, Universitas Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin (UINSTS) Jambi, Indonesia itu ialah Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad.
Rombongan UINSTS Jambi Indonesia diketuai oleh Dekan Fakultas Adab dan Humaniora Profesor Dr Maisah selaku pengerusi bersama majlis.
Kolokium dan seminar dengan tema ‘Kajian Bahasa dan Budaya Melayu Islam Nusantara’ ini diadakan untuk memberikan pemahaman mengenai perkembangan dan peradaban Islam serta menggali kembali khazanah keilmuan dan sumbangan pemikiran dan menyelidik perkembangan kesusasteraan Islam, bahasa dan adat budaya Islam di Nusantara.
Program ini juga menjadi wadah aspirasi bagi kedua-dua institusi pendidikan tinggi berkenan untuk menjalin kerjasama setelah pemorandum persefahaman (MoU) dimeterai pada Majlis Malam Graduan sempena Hafl Al-Takharruj UNISSA ke-8, semalam.
Di samping itu juga, pihak kedua-dua universiti juga menjadikan kolokium dan seminar ini sebagai tempat untuk menilai cadangan siswazah pengajianan lepasan ijazah dari FPPI UNISSA dengan empat penilail terdiri daripada tenaga akademik UINSTS dan empat penilai daripada tenaga akademik UNISSA.