Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama kitar semula kertas, lindungi alam sekitar

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk melindungi alam sekitar dan mempromosikan kemampanan, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) dan EnEvo Sdn Bhd berjaya menamatkan kempen kolaboratif kitar semula kertas, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ISB, di sini, kempen yang bermula dari 26 hingga 28 Februari itu menyaksikan ibu bapa dan pelajar-pelajar ISB digalakkan menghantar kertas terpakai bagi tujuan dikitar semula.

    Kertas-kertas terpakai itu merangkumi buku-buku latihan, kertas dan buku yang bukan berkilat, kertas-kertas pejabat yang telah dicincang serta surat khabar lama.

    Kertas-kertas terpakai yang dikumpulkan berkenaan dihantar kepada EnEvo, sebuah syarikat tempatan yang menyediakan penyelesaian mampan bagi kertas buangan di mana mereka mengutip, memproses dan menukar kertas terpakai berkenaan menjadi produk yang boleh digunakan semula seperti tisu tandas.

    Bagi menandakan kejayaan pelaksanaan kempen berkenaan, kesemua kertas terpakai dikumpulkan di ISB untuk diserahkan kepada EnEvo.

    Gambar ramai kempen kitar semula kertas di ISB baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN ISB

    Antara yang hadir bagi penyerahan kertas berkenaan ialah Pengetua Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Dominic Morley; Pengurus Besar ISB, Vienna Law; Pengurus Besar EnEvo Sdn Bhd, Tan Kheng Tong; Penyelaras Eko ISB, David Mark Evans; serta Jawatankuasa Eko dan Wira Eko ISB yang terdiri daripada kumpulan pelajar yang menerajui pelbagai inisiatif alam sekitar.

    Dominic Morley menyatakan pihaknya gembira dapat berkerjasama dengan EnEvo sekali lagi dalam kempen penting itu, selaras dengan komitmen ISB untuk memberikan impak alam sekitar positif serta mempromosikan masa depan mampan untuk semua.

    Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua ahli komuniti ISB yang menyumbang kepada inisiatif kitar semula yang amat bermakna itu.

    “Di ISB, kami mengekalkan kepercayaan teguh bahawa pelajar kami yang berfikiran global mempunyai potensi untuk mencipta impak positif kepada dunia.

    “Sebagai sebuah sekolah-eko, kami berdedikasi terhadap kelestarian dan kesedaran alam sekitar, komitmen yang dicerminkan dalam akreditasi BCA Green Mark kami dan anugerah Bendera Hijau Eco-Schools, yang mengiktiraf kecemerlangan dalam pendidikan dan tindakan alam sekitar.”

    Sementara itu, Tan Kheng Tong menyatakan keterujaannya atas usaha berterusan ISB dan amat berbesar hari berpeluang untuk bekerjasama sekali lagi dengan sekolah berkenaan.

    Memandangkan kemampanan alam sekitar semakin dititikberatkan di peringkat kebangsaan dan global, tambahnya, adalah penting untuk memacukan gerakan di peringkat akar umbi untuk memastikan masa depan yang mampan dapat dinikmati semua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda