Tuesday, August 9, 2022
26.8 C
Brunei

Kerjasama kolektif tangani isu iklim

-

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Dengan tema ‘Tindakan Iklim dan Kedayatahanan’, Dialog Belia ASEAN mengenai Tindakan Iklim – Mesyuarat-mesyuarat Alam Sekitar ASEAN (ASEANyouCAN – AMME) telah berlangsung secara dalam talian, baru-baru ini.

Dianjurkan oleh Brunei Darussalam di samping AMME ke-16, dialog pada 22 Oktober lalu itu dihoskan oleh Republik Indonesia dan dihadiri oleh menteri-menteri alam sekitar ASEAN, setiausaha agung ASEAN dan delegasi belia ASEANyouCAN dari seluruh ASEAN.

Menurut kenyataan Kemen-terian Pembangunan, Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku pengerusi bersama Majlis Kebangsaan Negara Brunei Darussalam mengenai Perubahan Iklim. Manakala itu, delegasi ASEANyouCAN dari Brunei Darussalam pula diwakili oleh Joshua anak Belayan dan Dayang Noorhafizah binti Rashid.

Pada Dialog ASEANyouCAN – AMME mengenai Tindakan Iklim Belia, delegasi belia membentangkan ‘Deklarasi Bandar Seri Begawan mengenai Belia ASEAN untuk Tindakan Iklim’ kepada AMME. Perwakilan belia ASEANyouCAN menumpukan kepada kedudukan kolektif belia ASEAN sebagai serantau, mengemukakan kebimbangan dan cadangan untuk mengukuhkan tindakan iklim di rantau ini.

Selain itu, ASEANyouCAN turut menegaskan bahawa rantau ASEAN adalah antara yang paling terdedah di dunia kepada kesan perubahan iklim dan dalam perkara ini, mereka menyeru untuk mengukuhkan kerjasama dalam mitigasi iklim di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa dengan memberi tumpuan pada peralihan tenaga ke arah sumber tenaga hijau dan pembaharuan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi semasa menghadiri mesyuarat AMME yang berlangsung secara dalam talian, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Pembangunan

Perwakilan negara juga seterusnya mengulangi bahawa golongan muda harus memain-kan peranan yang bermakna dalam semua peringkat dari tempatan ke serantau dalam dasar dan proses membuat keputusan di semua peringkat.

Kenyataan menambah, pada dialog tersebut, menteri-menteri alam sekitar ASEAN juga secara kolektif memuji dan mengalu-alukan ‘Deklarasi Bandar Seri Begawan mengenai Belia ASEAN untuk Tindakan Iklim’ di samping menyokong saranan yang dikemukakan oleh perwakilan ASEANyouCAN untuk pertimbangan selanjutnya. Menteri-menteri juga mengalu-alukan penglibatan belia yang berterusan seperti ASEANyouCAN.

‘Deklarasi Bandar Seri Begawan mengenai Belia ASEAN untuk Tindakan Iklim’ telah dibangunkan dan diterima pakai oleh delegasi ASEANyouCAN, sebagai hasil dialog pertama ASEANyouCAN yang dianjurkan dalam talian oleh Brunei Darussalam pada 15 hingga 17 Oktober lalu.

ASEANyouCAN dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan melalui Sekretariat Perubahan Iklim Brunei dengan kerjasama ASEAN Youth Advocates Network (AYAN) Brunei Darussalam.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -