Kerjasama, komitmen dan tanggungjawab kunci kejayaan

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Ketua pasukan Indera SC (ISC), Mohd Khairil Shahme bin Suhaimi meluahkan keyakinan terhadap pasukannya untuk mencapai kejayaan jika pemain memberikan kerjasama serta mengekalkan tahap komitmen dan tanggungjawab masing-masing.

Pasukan juara dua kali Liga Super Brunei (BSL) menampilkan ketua pasukan mereka dalam segmen yang bertajuk Know Our ISC Players menerusi media sosial kelmarin.

“Kerjasama adalah sangat penting untuk membina sebuah pasukan yang mantap dan berjaya. Kekuatan pasukan berhubung rapat dengan pemain-pemain, jurulatih dan pihak pengurusan,” kata Mohd Khairil Shahme. “Jika aspek penting ini dapat diterapkan, saya yakin kejayaan pasti akan dapat diraih,” tambah ketua pasukan tersebut. Pemain berusia 27 tahun berkenaan telah mewakili kelab sejak 2017, menjadi pemain penting dalam membantu pasukannya menjuarai Piala FA dalam musim yang sama.

Dia menanam minat dalam sukan bola sepak sejak berusia tujuh tahun dan potensinya dapat dilihat semasa dia menyertai Kelab Belia Brunei yang ditubuhkan pada 2009/2010. Mohd Khairil Shahme, yang turut dikenali sebagai Mimi oleh rakan sepasukannya, mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Sukan SEA 2013 di Myanmar dan Piala Hassanal Bolkiah pada tahun 2014.

Dia membuat penampilan buat pasukan senior di peringkat antarabangsa semasa perlawanan kelayakan Piala Suzuki Konfederasi Bolasepak ASEAN (AFF) pada 2016 dan dipilih untuk mewakili negara dalam edisi 2018.

Pemain pertahanan tersebut turut mengongsikan pengalamannya sewaktu bermain menentang pasukan dari Myanmar, Yangon United dalam peringkat kelab di pusingan kelayakan Piala AFC.

“Bermain untuk ISC dalam kelayakan Piala AFC menentang pasukan ternama dari Yangon adalah pengalaman yang berharga kerana diberikan peluang untuk bermain di peringkat serantau,” katanya.

Mohd Khairil Shahme menjulang Piala PSR semasa menjadi sebahagian daripada Pasukan Belia Brunei dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang bergelar juara dalam Sukan Borneo di Labuan pada 2013. Kejayaan terbaharu adalah pada 2018 ketika dia mengetuai pasukan ISC menjulang Piala FA.

Dia meluahkan keyakinan bahawa ISC akan mampu pergi lebih jauh dalam membantu mengembangkan sukan bola sepak di negara ini selepas membuktikan bahawa kelab mampu bersaing dalam peringkat serantau.

Pasukan ISC semasa menjalani latihan. Ketua pasukan ISC yakin kejayaan pasukan tergantung pada kerjasama, komitmen dan tanggungjawab para pemain.