Kerjasama kumpul dana untuk Pusat Ehsan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Jab Gym dan Community for Brunei, yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat Bank Islam Brunei Darussalam, akan bekerjasama untuk mengumpulkan dana bagi Pusat Ehsan.

Kedua-dua pihak akan berkolaborasi untuk mengumpulkan dana melalui penjualan jus premium yang dihasilkan Jab Juice Bar dan Premium Granola Energy Bar yang dihasilkan oleh Kelas Vokasional Pusat Ehsan 2020.

Orang ramai dapat membeli produk-produk tersebut menerusi laman sesawang Community for Brunei bermula hari ini hingga akhir Ogos depan.

Seratus peratus hasil daripada kempen akan disumbangkan kepada Pusat Ehsan untuk membantu mereka terus menjalankan program yang memberikan latihan, bantuan dan perawatan kepada individu berkeperluan khas sehingga dapat mencapai potensi penuh mereka dalam masyarakat.

Kerjasama berkenaan dihasratkan akan menjadi inisiatif yang memberi impak kepada komuniti berkeperluan khas di Negara Brunei Darussalam, lebih-lebih lagi semasa wabak
COVID-19 ini dan sebagai inisiatif pengukuhan komuniti positif secara keseluruhannya.

Dengan kerjasama tersebut turut diharapkan akan dapat memberi sokongan dan keterlibatan yang lebih meluas kepada semua anggota masyarakat di negara ini membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Pelajar-pelajar Kelas Vokasional Pusat Ehsan 2020 menghasilkan Premium Granola Energy Bar untuk dijual menerusi platform Commu-nity for Brunei. – Gambar serahan BIBD