Kerjasama lahir pelaut berkualiti

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Akademi Maritim Brunei (BMA), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), hari ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Politeknik Ilmu Pelayaran Makassar dan Politeknik Pelayaran Malahayati, Indonesia, yang bermatlamat untuk mempromosikan dan mengembangkan kerjasama formal.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh IBTE, di sini, majlis penandatanganan telah diadakan secara maya di mana menandatangani bagi pihak IBTE ialah Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dan Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab.

Manakala itu, menandatangani bagi pihak Politeknik Ilmu Pelayaran Makassar ialah Pengarah, Kapten Sukirno dan Pengarah dan Timbalan Pendidikan, Kapten Hadi Setiawan serta Politeknik Pelayaran Malahayati diwakili oleh Pengarah, Joni Turiska dan Timbalan Pendidikan, Dr Ahmad Fauzi.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa terhindar daripada wabak COVID-19 sebelum ucapan alu-aluan daripada Dr Haji Mohd Zamri dan pengarah daripada kedua-dua buah politeknik berkenaan.

Dalam ucapan-ucapan berkenaan, mereka antara lain merasa bersyukur kerana dengan adanya kolaborasi melalui penandatanganan MoU itu akan memberi peluang kepada semua pihak menjalinkan hubungan formal dalam pembelajaran dan latihan bagi melahirkan pelaut (sea-fearers) yang berkualiti.

Kenyataan menyatakan bahawa MoU yang dimeterai akan menjadi satu mercu tanda sebagai penanda permulaan satu usaha sama yang akan membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Wakil ketiga-tiga institusi menunjukkan dokumen yang ditandatangani pada majlis penandantanganan secara maya, kelmarin. – Gambar serahan IBTE