Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama lahir usahawan berjaya

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Selaras dengan matlamat Pelan Strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) 2020-2025 iaitu mendukung pencapaian taraf sara diri, Yayasan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama LiveWIRE Brunei, hari ini.

    Majlis penandatanganan berlangsung di Bilik Mesyuarat, Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Perdana Menteri, di mana mewakili Yayasan ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan mewakili LiveWIRE Brunei ialah Pengurus In-Country Value Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd dan Pengerusi LiveWIRE Brunei, Hajah Rosita binti Haji Hassan.

    Melalui MoU itu, LiveWIRE Brunei akan terus menyokong Yayasan merea- lisasikan hasratnya untuk melahirkan usahawan yang berjaya menyara diri tanpa bantuan dengan membekalkan mereka dengan tatacara berniaga yang betul dan tertib, serta pengurusan kewangan dan perancangan masa depan.

    Terdahulu sebelum penandatanganan MoU berkenaan, Dr Nor Imtihan menyatakan hasrat untuk meneroka peluang-peluang kerjasama baharu antara Yayasan dan LiveWIRE Brunei serta berharap untuk mendapatkan cadangan dan idea kreatif daripada LiveWIRE Brunei mengenai bagaimana Yayasan dapat membantu golongan sasaran.

    Manakala itu, Hajah Rosita mengalu-alukan kerjasama itu di mana LiveWIRE Brunei bukan sahaja menawarkan bantuan pendidikan keusahawanan tetapi juga program lain termasuk kepimpinan.

    Beliau juga menyatakan harapan untuk meneroka bidang kerjasama yang baharu dengan Yayasan serta menyatakan bahawa pihaknya bersedia membantu golongan sasaran dalam usaha mereka untuk mencapai taraf sara diri.

    Kerjasama antara Yayasan dan LiveWIRE Brunei telah lama terjalin sejak 2018 dan hingga kini, sebanyak 14 bengkel telah dikendalikan. Bengkel itu bertujuan untuk memastikan para penerima bantuan modal keusahawanan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan benar-benar mempunyai kemampuan dan kemahiran dalam bidang perusahaan yang akan mereka ceburi.

    Para penerima bantuan modal keusahawanan perlu menjalani bengkel berkenaan sebelum mereka diserapkan ke dalam Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan untuk diberikan bantuan modal perniagaan atau perusahaan bagi membolehkan mereka menjalankan dan memajukan usaha perniagaan atau perusahaan sebagaimana yang mereka hasratkan dan seterusnya diiktiraf menjadi Usahawan Bakarih Yayasan.

    Di samping memberikan bengkel-bengkel keusahawanan, Yayasan bersama LiveWIRE Brunei turut membuat pemantauan dan memberikan khidmat nasihat dan bimbingan kepada penerima bantuan modal keusahawanan.

    Dr Nor Imtihan dan Hajah Rosita semasa menandatangani MoU pada majlis tersebut.- Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda