Kerjasama latihan lindungi pengguna

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Sebagai usaha berterusan bagi mengukuh dan meningkatkan rejim perlindungan pengguna di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Persaingan dan Perlindungan Pengguna, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi hari ini telah mengungkayahkan sesi Latihan Perundangan Perlindungan Pengguna.

Kursus dua hari kendalian Bahagian Perlindungan Pengguna, Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) itu telah disampaikan dan diketuai oleh Pengarah Bahagian Perlindungan Pengguna di CCCS, Jack Teng dan Pegawai Kanan CCCS, Angeline Lee yang merangkumi rangka kerja dasar perlindungan pengguna di Singapura dan pengalaman Singapura dalam menguatkuasakan perundangan tersebut.

Menurut kenyataan yang diterima, latihan tersebut berlangsung di Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan dihadiri oleh lebih 30 pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kesihatan; Kementerian Tenaga; Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Kementerian Hal Ehwal Ugama; Pejabat Peguam Negara; Tribunal Tuntutan Kecil; Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi (AITI); dan Pusat Akreditasi Brunei Darussalam.

Semasa sesi pembukaan, Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin, menekankan kepentingan mempunyai perundangan perdagangan wajar yang efektif bagi meningkatkan keyakinan pengguna dan mewujudkan pasaran yang adil. Rejim perlindungan pengguna yang berkesan adalah penting dalam mewujudkan penggunaan yang berdaya tahan di pasaran domestik, yang juga merupakan inisiatif penting dalam mewujudkan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan, seperti yang dihasratkan dalam matlamat ekonomi Wawasan Brunei 2035.

Dr Hajah May Fa’ezah turut menghargai usaha berterusan Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna (DCCA) sejak dua tahun lalu, dalam usaha mengukuhkan peranannya meningkatkan kesedaran pengguna dan mekanisme aduan pengguna termasuk dengan mewujudkan platform tambahan seperti aplikasi mudah alih pengguna bijak dan talian hotline pengguna menerusi Talian Darussalam 123.

Menurutnya, usaha itu telah berjaya meningkatkan peratus aduan yang diterima sebanyak 30 peratus, berbanding tahun lepas dan jenis aduan juga semakin kompleks dengan meningkatnya aktiviti perniagaan atas talian yang rentas sempadan.

Gambar ramai pegawai yang menyertai kursus Latihan Perundangan Perlindungan Pengguna di JPKE.