Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kerjasama lindungi ruang siber

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Pandemik COVID telah memberikan banyak pengajaran yang berharga dan perlunya mempercepatkan transformasi digitalisasi.

    Antaranya ialah keperluan untuk tidak meninggalkan sesiapapun, memastikan ruang siber yang selamat dan keperluan bagi peraturan baharu untuk dunia yang lebih digital.
    Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi,

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha semasa menyertai sesi Ministerial Roundtable yang diadakan sebagai sebahagian daripada Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) yang diadakan di Sands Expo and Convention Centre, Republik Singapura pada 18 hingga 20 Oktober lalu.

    Beliau yang juga menteri bertanggungjawab bagi keselamatan siber, Negara Brunei Darussalam, turut menekankan bahawa domain digital telah menjadi sebahagian yang lebih penting dalam kehidupan seharian, di mana ancaman daripadanya telah menjadi lebih serius dan mencabar.

    Ancaman yang bermula dalam domain digital juga boleh memberi kesan kepada dunia fizikal dengan cepat.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi bergambar ramai bersama menteri-menteri dan perwakilan-perwakilan ASEAN semasa AMCC ke-7 pada 20 Oktober. – Gambar serahan MTIC

    Domain digital tidak mempunyai sempadan, oleh itu, kerjasama antarabangsa adalah penting untuk membina rangka kerja teguh yang boleh melindungi ruang siber dan menggalakkan keyakinan dan kepercayaan terhadapnya.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), SICW 2022 yang membawa tema Digital Security – A Shared Responsibility telah dirasmikan oleh Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean.

    Majlis perasmian diikuti dengan beberapa siri SICW Ministerial Roundtables di mana Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi mengambil bahagian sebagai ahli panel mengenai topik Melindungi Masa Depan Digital Bersama.

    Turut diadakan sebagai sebahagian daripada SICW 2022 adalah Persidangan Menteri-menteri ASEAN mengenai Keselamatan Siber (AMCC) ke-7, kelmarin.

    AMCC adalah dialog antara menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab ke atas ICT dan keselamatan siber untuk membincangkan isu-isu utama keselamatan siber serantau.

    Semasa persidangan tersebut, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi mengalu-alukan kerjasama serantau yang berkembang dan mengukuhkan dalam keselamatan siber sebagai pemboleh kepada inovasi, kemajuan dan kemapanan.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary seterusnya menekankan mengenai keperluan yang berterusan untuk membina kapasiti bagi menyusun strategi dan meningkatkan ekosistem keselamatan siber yang bersedia dan berdaya tahan.

    Persidangan AMCC ke-7 turut memberi tumpuan kepada kemajuan penubuhan ASEAN Regional CERT sebagai satu cara untuk meningkatkan keupayaan keselamatan siber.

    Mesyuarat tersebut juga menegaskan semula kepentingan ruang siber yang selamat, stabil dan berdaya tahan sebagai penggerak utama ekonomi digital ASEAN.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut mengambil peluang memerhati dan menyokong pelajar-pelajar dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang menyertai Singapore Cyber Conquest (SCC) yang diadakan semasa SICW 2022.
    SCC adalah sebuah program dalam kalendar SICW di mana institut pengajian tinggi ASEAN juga dijemput.

    Turut menyertai SICW 2022 dan AMCC ke-7 ialah Pesuruhjaya Interim Cyber Security Brunei (CSB), Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis berserta dengan pegawai-pegawai kanan dari MTIC.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...