KUALA LUMPUR, 30 Jan – Kerjasama dalam bidang bioteknologi akan terus memacu hubungan dua hala Cuba-Malaysia, kata duta negara Caribbean itu ke Malaysia, Ibete Fernandez Hernandez.
Beliau berkata terdapat tiga delegasi Malaysia yang berkunjung ke Pusat bagi Kejuruteraan Genetik dan Bioteknologi Cuba serta Institut Finlay di Havana tahun lepas bagi meneroka kemungkinan menghasilkan vaksin di Malaysia, atau sekurang-kurangnya membeli vaksin dari Cuba.
Institut Finlay adalah sebuah pusat saintifik berprestij yang terkenal di seluruh dunia kerana membangunkan, antara lain, vaksin berkesan pertama di dunia bagi penyakit meningitis B dan C.
Hernandez berkata syarikat Malaysia kini dalam proses menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU), sambil menambah bahawa perjanjian itu mungkin dimeterai pada pertengahan tahun ini.
“Cuba dan Malaysia perlu saling mengenal pasti peluang perniagaan. Data mengenai kejayaan Cuba dalam sektor kesihatan amat jelas selain kemajuan dalam industri bioteknologi,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di sini pada Selasa malam.
Hernandez ditemui pada resepsi bagi meraikan Hari Kemerdekaan Cuba, yang disambut pada 1 Januari. Sambutan tahun ini adalah penting kerana turut meraikan ulang tahun ke-60 Revolusi Cuba. Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir.
Beliau berkata MoU itu akan membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada pemindahan teknologi, menjadi platform bagi penghasilan vaksin, termasuk pembungkusan serta mengimport vaksin ke negara lain.
Hernandez berkata Cuba sedia berkongsi kepakarannya dalam industri bioteknologi berikutan keupayaan negara itu menghasilkan, antara lain, ubat-ubatan unik untuk mengawal amputasi akibat penyakit kencing manis dan vaksin bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser.
Selain bioteknologi, duta itu berkata kerjasama alam sekitar akan turut menjadi tumpuan kerana Cuba sebagai sebuah negara pulau di Caribbean memiliki kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang perikanan serta pemuliharaan marin.
Hernandez berkata, untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala, Cuba berhasrat mendapatkan produk minyak sawit Malaysia, sambil menambah bahawa meskipun di Cuba komoditi berkenaan digunakan khususnya dalam industri kelengkapan dandanan diri, ia juga boleh dipromosi bagi industri masakan dan makanan.
Duta itu juga berkata meskipun berdepan cabaran ketara, Presiden Miguel Diaz-Canel yang baharu dilantik serta kerajaan Cuba komited untuk membina masyarakat sosial yang lebih demokratik, makmur dan mampan.
Perkara itu akan dibuktikan pada 24 Februari apabila referendum bagi perlembagaan baharu dilakukan, katanya. – Bernama

































