Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Kerjasama percepat peralihan tenaga

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Usaha dan komitmen kolektif yang berterusan di rantau ASEAN adalah amat penting dalam memajukan sektor tenaga, termasuk inisiatif-inisiatif yang diterajui oleh Negara Brunei Darussalam semasa menjadi Pengerusi bagi Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-39 pada 2021.

    Penekanan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucapan selaku Outgoing Chair Mesyuarat AMEM semasa Mesyuarat Tahunan Menteri-menteri Tenaga ASEAN ke-40 dan Mesyuarat-mesyuarat Yang Berkaitan Dengannya yang berlangsung secara dalam talian, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin menyatakan salah satu pencapaian utama adalah pengesahan Deklarasi Bersama Bandar Seri Begawan Menteri-menteri Tenaga ASEAN bagi Sekuriti Tenaga dan Peralihan Tenaga, yang menegaskan pentingnya untuk memastikan jaminan tenaga dan mempercepatkan peralihan tenaga serta pentingnya kerjasama sektoral untuk sama-sama memajukan usaha pembangunan Komuniti ASEAN khususnya Komuniti Ekonomi ASEAN.

    Beliau turut menyatakan mereka harus terus kekal pada laluan ke arah integrasi ekonomi serta mengumpulkan bakat dan sumber mereka untuk memperbaiki kehidupan warga ASEAN.

    Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya berkata walaupun sistem tenaga mereka adalah luas dan pelbagai, mereka harus meneruskan usaha berasaskan kepada pendekatan serantau, ke arah mencapai pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang dinamik serta mampan.

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyampaikan ucapan semasa Mesyuarat AMEM ke-40 yang berlangsung secara dalam talian, kelmarin.
    TYT Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen merasmikan Mesyuarat AMEM ke-40 yang berlangsung secara dalam talian, kelmarin.
    Menteri-menteri Tenaga ASEAN yang menghadiri Mesyuarat AMEM ke-40 kelmarin.

    Mesyuarat AMEM ke-40 diadakan bermula 13 hingga 16 September di mana mesyuarat berkenaan dihoskan dan dipengerusikan oleh kerajaan Kemboja. Mesyuarat AMEM ke-40 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen pada 15 September.

    Mesyuarat dihadiri oleh Menteri-menteri Tenaga ASEAN dan ketua de-legasi daripada rakan-rakan dialog dan organisasi-organisasi antarabangsa.

    Setelah menyampaikan ucapannya, Yang Berhormat Pehin kemudian menyerahkan kepengerusian Mesyuarat AMEM kepada Menteri Perlombongan dan Tenaga, Kemboja, TYT Suy Sem, sebagai Pengerusi Mesyuarat AMEM ke-40.

    Mesyuarat AMEM ke-40 membawa tema ‘Mempercepatkan Peralihan Tenaga: Pemulihan Ekonomi dan Pertumbuhan Mampan’ yang dipengerusikan oleh TYT Suy Sem di mana mesyuarat antara lain membincangkan perkembangan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan di bawah Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN Fasa Kedua Tahun 2021-2025, termasuk bidang-bidang program yang berkaitan dengannya iaitu Grid Tenaga ASEAN, Saluran Gas Trans-ASEAN, Teknologi Arang Bersih dan Batu Arang, Pemuliharaan dan Kecekapan Tenaga, Tenaga Yang Boleh Diperbaharui, Perancangan dan Dasar Tenaga Serantau serta Tenaga Nuklear Awam.

    Aktiviti-aktiviti itu dihasratkan akan menyumbang kepada merealisasikan matlamat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Wawasan ASEAN 2025.

    Acara sampingan Mesyuarat AMEM ke-40 juga menyaksikan acara pelancaran bagi dua dokumen yang telah diterbitkan iaitu The 7th ASEAN Energy Outlook (AEO7) dan 2nd ASEAN Renewable Energy Outlook.

    Mesyuarat AMEM ke-40 juga menyaksikan pengesahan tiga kenyataan bersama iaitu Kenyataan Bersama Menteri-menteri pada AMEM ke-40, Kenyataan Bersama Menteri-menteri pada AMEM+3 ke-19 dan Kenyataan Bersama Menteri-menteri semasa Mesyuarat Sidang Kemuncak Asia Timur Menteri-menteri Tenaga ke-16.

    Mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan dengan Mesyuarat AMEM ke-40 yang telah berlangsung pada 15 hingga 16 September, adalah Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN Plus 3 ke-19 (19th ASEAN+3), Mesyuarat Kemuncak Asia Timur Menteri-menteri Tenaga ASEAN ke-16 (16th EAS EMM), Sesi Dialog di antara Menteri-menteri Tenaga ASEAN dan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) ke-6 (6th AMEM – IRENA) serta Sesi Dialog di antara Menteri-menteri Tenaga ASEAN dan Agensi Tenaga Antarabangsa ke-8 (8th AMEM – IEA).

    Acara sampingan lain yang juga diadakan ialah Forum Tenaga Asia Timur ke-5 (EAEF) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2022 (AEBF).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...