Kerjasama pertahanan banteras COVID-19

HANOI, 19 FEB – Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang dipengerusikan oleh Vietnam bagi tahun ini telah dimulakan dengan sesi retreat yang diadakan di Melia Hotel, Hanoi, hari ini.

Mewakili Negara Brunei Darussalam ke ADMM Retreat ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut serta dalam rombongan Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah dan Pengarah Dasar Pertahanan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, semasa Retreat tersebut, menteri-menteri pertahanan ASEAN telah bertukar-tukar pandangan mengenai isu keselamatan rantau dan antarabangsa, dan membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan persediaan bagi mesyuarat ADMM dan ADMM-Plus pada November 2020.

ADMM Retreat juga telah mengeluarkan kenyataan bersama oleh menteri-menteri pertahanan ASEAN mengenai kerjasama pertahanan melawan penyakit berjangkit, yang mana menekankan solidariti ADMM dan semangat komuniti yang padu dan responsif dalam menangani wabak Koronavirus Novel 2019 (COVID-19).

Menurut kenyataan itu, mesyuarat tidak rasmi antara menteri-menteri pertahanan ASEAN dan Australia juga telah diadakan di samping ADMM Retreat, yang merupakan julung kalinya diadakan. Mesyuarat tidak rasmi tersebut telah dipengerusikan bersama oleh Menteri Pertahanan Nasional Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Jeneral Ngo Xuan Lich dan Menteri Pertahanan Australia, Puan Yang Terutama Linda Reynolds,

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua juga telah mengadakan mesyuarat dua hala secara berasingan bersama Menteri Sekuriti Awam, Vietnam, TYT Jeneral To Lam selaku pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKN) dan Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi.

ADMM Retreat adalah salah satu aktiviti tambahan di bawah proses ADMM, dan mendayakan dialog dan penglibatan negara-negara ASEAN sebelum mesyuarat ADMM dan ADMM-Plus dilangsungkan.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bergambar ramai bersama menteri-menteri pertahanan ASEAN pada sesi retreat di Melia Hotel, Hanoi. – Gambar serahan Kem. Pertahanan