Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Tidak dapat dinafikan bahawa pandemik COVID-19 telah memberikan kesan yang amat besar kepada industri pelancongan dunia termasuk industri pelancongan Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.
Sebagai perbandingan, angka ketibaan pelancong Brunei ke Malaysia jauh merosot di mana pada 2019 iaitu dari Januari hingga Disember mencatatkan sebanyak 1,216,123 orang tetapi pada 2020 iaitu dari Januari hingga Disember, ia hanya mencatatkan 136,020 orang manakala dari Januari hingga Jun 2021 hanya mencatatkan 392 orang.
Perangkaan itu dikongsi oleh Pengarah Tourism Malaysia Pejabat Brunei Darussalam, Haji Ibrahim Seddiqi bin Talib dalam kata alu-aluannya di Majlis Minum Petang Tourism Malaysia dengan Pemain-pemain Industri Pelancongan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Haji Ibrahim berkata lagi bahawa Tourism Malaysia (TM) akan meneruskan agenda pelancongan di Negara Brunei Darussalam dan terus memantapkan hubungan baik dengan pemain-pemain industri pelancongan tempatan, pihak media dan pihak yang berkepentingan bagi memastikan industri pelancongan itu terus berkembang di kedua-dua buah negara, Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.
Beliau turut berkata bahawa peranan TM Brunei bukan sahaja mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kepada rakyat Brunei tetapi juga memainkan peranan dalam merancakkan aktiviti pelancongan domestik di Brunei.
Ke arah itu, sudah menjadi tradisi bagi TM Brunei untuk menganjurkan dengan kerjasama Royal Brunei Culinary acara Pesta Makanan Malaysia yang telah diadakan selama 15 tahun, menyertai SABRE Brunei Travel Fair serta berkolaborasi dengan agensi pelancongan tempatan dalam menjayakan Theme Brunei Cruise yang mengetengahkan makanan Malaysia dalam pelayaran berkenaan.
Beliau turut menyatakan bahawa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia telah memperkenalkan Langkawi International Travel Bubble (LITB) bagi memulakan kembali aktiviti pelancongan antarabangsa pada 15 November 2021 dan diharapkan dengan kebenaran bagi perjalanan non-essential ke luar negara pada masa yang terdekat nanti, pelancong Brunei boleh memilih Langkawi sebagai destinasi percutian mereka.
Di majlis berkenaan, TYT Dato’ Raja Reza juga menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang dari Negara Brunei Darussalam bagi Miss Sophia Virtual Treasure Hunt 2020/2021 termasuk juara acara iaitu Pasukan The Cyber Ninjas.