Kerjasama sektor swasta bantu pulihkan ekonomi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Pemimpin-pemimpin ASEAN menekankan bahawa sektor swasta memainkan peranan penting untuk membantu ASEAN di peringkat negara dan serantau untuk mengurangkan kesan buruk ekonomi dan sosial disebabkan pandemik serta untuk mengangkat rantau berkenaan ke arah pemulihan ekonomi secepat mungkin.

Penekanan itu dibuat oleh pemimpin-pemimpin ASEAN dalam persidangan video bersama Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN BAC) semasa Sesi Dialog ke-17 yang diadakan pada 26 Jun lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat ASEAN BAC, di sini.

Kenyataan menyatakan bahawa Pengerusi ASEAN dan Perdana Menteri Vietnam, Tuan Yang Terutama Nguyen Xuan Phuc melahirkan penghargaan kepada ASEAN BAC yang diketuai oleh Pengerusinya, Dr Doan Duy Khuong atas penyediaan pakej cadangan tindakan jangka pendek serta elemen penting bagi Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Pandemik dengan sokongan daripada Partner Joint Business Councils dan Sector Champions.

Dr Khuong menyeru bagi penubuhan Suruhanjaya Khas Peringkat Tinggi ASEAN bagi COVID-19 dan rumusan Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Pandemik serta menekankan kesediaan ASEAN BAC dan rakan-rakan kongsinya untuk membantu suruhanjaya berkenaan menerusi Lembaga Penasihat Perniagaan Khas sebagai badan penasihat sektor swasta.

Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa TYT Nguyen mengambil maklum serta berpuas hati dengan cadangan-cadangan yang diberikan untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan dalam operasi perniagaan yang berkaitan dalam memastikan protokol langkah kesihatan, rangkaian bekalan barangan dan perkhidmatan penting tidak tergendala, penyediaan jaringan keselamatan bagi sektor-sektor mudah terjejas dan terkesan adalah amat signifikan serta boleh dilaksanakan segera.

TYT Nguyen Xuan Phuc semasa menyampaikan ucapan semasa persidangan video bersama pemimpin-pemimpin ASEAN di Hanoi pada 26 Jun lalu. – AFP

Semasa persidangan itu, Perdana Menteri Thailand, TYT Prayut Chan-o-Cha memberikan sokongan kuat kepada cadangan ASEAN BAC untuk menubuhkan Lembaga Penasihat Perniagaan Khas bagi memastikan kerjasama sektor swasta yang kukuh dengan ASEAN tetapi beliau menekankan perlu dipastikan bahawa tidak berlaku pertindihan dengan inisiatif-inisiatif berkaitan daripada badan-badan ASEAN yang lain.

Manakala itu, Perdana Menteri Kemboja, TYT Hun Sen menekankan bahawa pandemik berkenaan telah mengetengahkan keperluan untuk memperbaiki lagi rangkaian pembekalan serantau dan meningkatkan perdagangan antara ASEAN menerusi penghapusan segera halangan tarif yang masih ada dan halangan bukan tarif yang sukar.

Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, TYT Airlangga Hartarto bagi mewakili Presiden Indonesia, TYT Joko Widodo, menekankan pentingnya ASEAN Digital bagi pembangunan lestari dengan tumpuan khusus kepada pembangunan sumber manusia ASEAN.

Beliau menyatakan bahawa latihan dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta sumber manusia merupakan peneraju yang akan mengerakkan serta menghubungkan pencari kerja dan keperluan majikan dalam era Revolusi Perindustrian 4.0.

Menteri Kanan Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Malaysia, TYT Datuk Seri Azmin Ali bagi mewakili Perdana Menteri Malaysia, TYT Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa dengan peranan penting sektor swasta, amat menyokong penubuhan suruhanjaya khas peringkat tinggi untuk memastikan pembuatan keputusan yang efektif dan efisien dalam pelaksanaan tanggungjawab yang besar itu.

TYT Perdana Menteri Thailand dan TYT Airlangga Hartarto juga bersetuju dengan cadangan ASEAN BAC bagi penetapan RCEP secepat mungkin untuk merealisasikan potensinya untuk menjana lebih banyak pasaran untuk ASEAN dan meningkatkan daya saing ASEAN tepat pada masanya di mana ia amat diperlukan.

Pengerusi ASEAN menyeru ASEAN BAC untuk terus bekerjasama rapat dengan ASEAN dan kerajaan negara masing-masing bagi mencapai daya saing dan kecukupan diri.

Beliau juga percaya bahawa bersama mereka akan dapat mengatasi cabaran masa ini dan menerusinya akan memperkasa serta menjadikan ASEAN sebuah destinasi baharu yang menarik bagi pelabur-pelabur, menyumbang kepada kemakmuran bagi semua ekonomi ASEAN serta perniagaan dan penduduk ASEAN.