Kerjasama serantau bagi hapuskan halangan e-dagang di ASEAN

KUALA LUMPUR, 5 OKT – Kerjasama serantau akan terus memainkan peranan penting untuk menyokong pengembangan industri e-dagang di ASEAN yang telah berkembang pesat semasa penularan pandemik COVID-19, kata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Dalam laporan Perkhidmatan Penghantaran Pakej-Kecil : Competitive Neutrality Reviews di Malaysia yang dikeluarkan hari ini, OECD mengesyorkan agar halangan terhadap perkhid-matan logistik seperti penghantaran yang mahal dan tidak boleh dipercayai, sekurang-kurangnya di beberapa negara anggota ASEAN dimansuhkan memandangkan potensi pertumbuhan selanjutnya dalam e-dagang.

“Ini mempengaruhi perkembangan e-dagang, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

“Menghapuskan halangan seperti itu akan membantu pengembangan e-dagang dan memberi pengguna lebih banyak pilihan dan harga yang lebih baik,” kata pertubuhan itu yang berperanan membangunkan dasar untuk kehidupan yang lebih baik.

OECD berkata krisis COVID-19 akan membawa kepada perubahan jangka panjang dan kemungkinan boleh mempercepatkan peralihan ke e-dagang, terutama bagi pengguna yang sejak kebelakangan ini lebih berdaya tahan terhadap saluran runcit dalam talian.

“Perniagaan biasa (brick and mortar) juga akan berkembang menawarkan perkhidmatan di luar peruncitan, termasuk pengiriman jarak jauh,” katanya sambil menambah transformasi digital berlaku dengan pesat di ASEAN.

OECD seterusnya menyatakan Kemboja, Laos, dan Myanmar mencatatkan pertumbuhan tahunan sekitar 20 peratus pengguna e-dagang pada April 2020 berbanding tahun sebelumnya.

Menyentuh mengenai nilai jualan dalam talian, ia berkata kadar pertumbuhan tahunan yang tinggi melebihi 15 peratus dicatatkan di Indonesia, Thailand, Filipina, dan Malaysia.

OECD juga berkata ASEAN telah menyediakan kerangka untuk maklum balas COVID-19 di pelbagai sektor.

Mengulas lanjut, ia berkata menteri-menteri yang bertanggungjawab untuk perdagangan dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) juga telah berjanji untuk bekerjasama bagi mengurangkan kesan COVID-19, dengan memberi komitmen bagi memudahkan aliran barangan merentasi sempadan selain mengukuhkan antaranya e-dagang dan perkhidmatan yang berkaitan.

E-dagang dijangka berkembang pada kadar dua digit pada tahun 2021 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 19 peratus sejak 2015, katanya.

Di Malaysia, pendapatan e-dagang dianggarkan AS$3.3 juta pada 2019, dan diunjurkan tumbuh sekitar 29 peratus pada 2020.

Laporan penilaian OECD dilakukan menerusi perundingan dengan pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkepentingan tempatan, dengan sokongan Sekretariat ASEAN dan Program Pembaharuan Ekonomi ASEAN di bawah Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan United Kingdom.

Laporan ini menawarkan cadangan dasar yang dapat membantu kerajaan Malaysia menangani kekurangan struktur dan peraturan dalam sektor perkhidmatan penyampaian pakej kecil. – Bernama