Thursday, November 30, 2023
25.8 C
Brunei

    -

    Kerjasama tanam 100,000 pokok di Sarawak

    KUALA LUMPUR, 10 NOV – Yayasan Nippon dengan kerjasama Persatuan Japan Malaysia (JMA) akan menanam 100,000 pokok dalam tempoh 10 tahun akan datang sebagai usaha bagi memulihkan Taman Negara Gunung Apeng Serian di Sarawak.

    Pengerusi Yayasan Nippon, Tan Sri Yohei Sasakawa berkata inisiatif itu akan bermula pada bulan Januari tahun depan, melibatkan pelajar-pelajar terpilih dari universiti di Jepun serta pelajar-pelajar dari Malaysia.

    Beliau berkata pihaknya memilih Taman Negara Gunung Apeng Serian kerana mereka melihat kawasan itu perlu dipulihkan memandangkan aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan telah mengakibatkan banyak pokok ditebang.

    “Spesies pokok asli seperti keluarga Dipterocarpaceae dan pokok buah tempatan akan ditanam di kawasan yang terjejas teruk, menggunakan kaedah penanaman lebat dan campuran, serta kawasan hutan sekunder menggunakan kaedah penanaman tersusun,” katanya dalam temu bual khas di Wisma Bernama, di sini hari ini.

    Beliau berkata 15 pelajar terbaik dari universiti Jepun yang terpilih akan dihantar ke Malaysia selama empat kali setahun untuk melibatkan diri dalam inisiatif penanaman pokok di kawasan hutan itu dan aktiviti pendidikan di Sarawak selama 10 hari setiap kali mereka berada di negara ini.

    Sasakawa berkata, selain memulihkan hutan hujan dan mengekalkan ekosistem di Kepulauan Borneo, aktiviti itu bertujuan menggalakkan dan memotivasikan generasi muda untuk menyertai aktiviti kesukarelawan, seterusnya menjadikan mereka lebih prihatin dan berminat dalam menangani isu sosial dan alam sekitar.

    “Hasrat kami adalah agar pelajar dari Jepun dapat bekerjasama dengan pelajar tempatan supaya mereka dapat berkolaborasi dalam usaha pemulihan hutan dengan menanam pokok baharu, sambil memupuk interaksi antara pelajar Malaysia dan Jepun. – Bernama

    Pengerusi Yayasan Nippon Tan Sri Yohei Sasakawa semasa wawancara khas dengan Bernama di Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    China gesa gencatan senjata menyeluruh segera

    BEIJING, 30 NOV - China hari ini menggesa ‘gencatan senjata kemanusiaan yang berterusan’ dalam konflik Israel-Hamas dalam kertas jawatan yang dikeluarkan oleh kementerian luarnya. "Pihak-pihak...