Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama Thai, M’sia berhasil

    BANGKOK, 16 Sept – Rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM72.5 juta di Pulau Pinang pada Rabu lepas tidak akan dapat dijayakan tanpa kerjasama baik antara polis bahagian narkotik Malaysia dan Thailand.

    Kedua-dua pihak telah bertukar risikan penting yang membawa kepada penahanan suspek serta penemuan makmal pemprosesan dadah serba canggih di negeri itu.

    “Pada 7:50 malam, 4 September, kami diminta rakan di Malaysia memantau dua suspek, seorang lelaki dan seorang wanita, yang akan melakukan perjalanan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi dari Hong Kong,” kata Ketua Biro Pembanterasan Narkotik Thailand (NSB) Lt Jen Sommai Kongvisaisuk kepada Bernama di sini.

    Katanya kedua-dua suspek yang didakwa menjadi ‘perancang’ dalam kes dadah di Pulau Pinang itu, telah terlebih dahulu mendaftar masuk ke hotel mewah yang terletak di satu daripada bangunan tertinggi di Bangkok sebaik tiba dari Hong Kong sebelum berpindah ke sebuah hotel lebih murah di kawasan Pratunam di tengah-tengah pusat bandaraya.

    Pemantauan terhadap dua suspek menunjukkan mereka mendaftar keluar daripada hotel mereka pada 11 September dan terus ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi untuk menaiki penerbangan ke Hatyai di selatan Thailand, kata Sommai.

    “Mereka mendarat di Hatyai pada 12:55 tengah hari (waktu tempatan),” katanya dan menurutnya operasi NSB mengesan kedua-dua suspek apabila mereka melakukan perjalanan mengikut jalan darat ke Betong di wilayah Yala dekat sempadan Thailand-Malaysia dengan me-reka tiba pada kira-kira 7 malam (waktu tempatan).

    Betong sebuah bandar yang sunyi terletak di seberang sempadan Malaysia di Pengkalan Hulu di utara Perak.

    Tidak diketahui dengan jelas kenapa kedua-dua suspek mengambil perjalanan lebih jauh dan mengikut jalan darat ke Betong selepas mereka tiba di Hatyai untuk memasuki Malaysia dan tidak menggunakan laluan terus ke pusat pemeriksaan sempadan di Sadao-Bukit Kayu Hitam, yang hanya kira-kira sejam perjalanan dengan kenderaan dari Hatyai.

    “Kami kemudian memaklumkan kepada rakan kami di Malaysia sebaik sahaja kedua-dua suspek melintas sempadan untuk masuk ke Malaysia,” kata Sommai.

    Lelaki dan wanita itu segera ditahan polis Malaysia sebaik sahaja mereka melintas sempadan dan kemudian membawa polis jabatan narkotik Bukit Aman ke makmal dadah dilengkapi peralatan pemprosesan dadah yang canggih itu di Bukit Tengah, Pulau Pinang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda