Kerjasama TMP antara Malaysia, Filipina, Indonesia perlu kekal

LAHAD DATU, 11 Julai – Proses kerjasama pasukan keselamatan Malaysia, Indonesia dan Filipina dalam Trilateral Maritime Patrol (TMP) bagi menangani ancaman pengganas serta elemen jenayah rentas sempadan di Laut Sulu itu, perlu dikekalkan.

Panglima Wilayah Laut 2, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Muda Datuk Ganesh Navaratnam berkata inisiatif TMP itu menghasilkan impak positif apabila tiada insiden pencerobohan atau penculikan berlaku sejak kerjasama itu diperkenalkan pada 2017.

“Ini menunjukkan rondaan TMP yang bukan sahaja di laut, malahan di udara serta perkongsian risikan antara tiga negara ini berjaya serta membuktikan TMP memberi manfaat kepada komuniti maritim di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone),” katanya.

Beliau ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri di atas Kapal Auksiliari Tun Azizan sempena pertemuan TMP antara kapal TLDM KD Todak dengan kapal Tentera Laut Filipina (TLF) BRP Miguel Malvar di sini, semalam.

BRP Miguel Malvar diketuai Komander Richard Rosales.

Majlis turut disertai wakil daripada pasukan keselamatan termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, penduduk kampung dan Pengurusan Felda Sahabat.

Ganesh turut berharap proses kerjasama tersebut dapat ditingkatkan lagi menerusi latihan ketenteraan bersama termasuk perkongsian maklumat risikan.

“Selain itu, pertemuan sebegini (majlis Aidilfitri) diharap dapat meningkatkan keyakinan antara kita (pasukan keselamatan) dan penduduk serta pemerhati luar,” katanya.

Beliau berkata TLDM, khususnya Markas Wilayah Laut 2 bersama rakan operasional tidak akan berkompromi terhadap aspek keselamatan dan terus meningkatkan kesiagaan serta pengawasan di perairan pantai timur Sabah.

Pertemuan KD Todak bersama BRP Miguel Malvar adalah yang pertama selepas rondaan TMP ke-11.– Bernama