Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Kerjasama untuk negara, rakyat

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berharap agar kolaborasi yang dijalin bersama Republik Demokratik Rakyat Laos dapat membuahkan hasil yang cemerlang bagi manfaat kedua-dua buah negara dan penduduk masing-masing.

    Baginda menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Santap Negara di Istana Nurul Iman.

    Majlis itu adalah bagi meraikan ketibaan Presiden Laos, Tuan Yang Terutama Thongloun Sisoulith dan isteri, Naly Sisoulith serta rombongan yang dalam Lawatan Negara.

    Baginda turut memuji hubungan antara Brunei Darussalam dan kerajaan Laos, yang menunjukkan keyakinan bersama untuk saling berkembang dan maju dengan jayanya.

    Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berserta kerabat diraja.

    Baginda seterusnya percaya hubungan dan kerjasama yang dibina bersama akan memastikan daya tahan dalam era kekacauan dan ketidaktentuan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Santap Negara. Turut berangkat KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

    Dengan penandatanganan kedua-dua memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang tenaga dan pertanian itu, hari ini, Baginda menekankan ia akan dapat menjamin tenaga bagi pertumbuhan dan makanan untuk rakyat masing-masing, yang penting untuk keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang berterusan.

    Baginda juga yakin perkembangan yang lebih menggalakkan daripada Forum Pelaburan dan Perniagaan yang akan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama esok, dapat meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan ekonomi kedua-dua buah negara.

    Baginda juga mengucapkan terima kasih atas sokongan teguh semasa Brunei mempengerusikan ASEAN sepanjang tahun lalu.

    Pada penghujung titah, Baginda sekali lagi menyatakan penghargaan atas lawatan Tuan Yang Terutama dan kerjasama rapat yang dijalin kedua-dua negara sejak bertahun lamanya.

    Sementara itu, Tuan Yang Terutama dalam ucapannya turut memuji persahabatan kedua-dua kerajaan dan berminat untuk melihat hubungan antara kedua-duanya terus diperkukuhkan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...