KEMATIAN atau kehilangan orang tersayang sememangnya sesuatu yang menyedihkan bagi semua orang.
Begitu pun, tidak ramai yang tahu bahawa ada segelintir individu yang tidak mampu atau tidak boleh mengalirkan air mata biarpun berhadapan dengan suasana sedih dan pilu.
Menyedari hakikat tersebut, sekumpulan wanita di Ghana menubuhkan satu pasukan yang mengambil upah untuk menangis di rumah si mati.
Mereka menggelarkan diri mereka tukang menangis profesional dan akan meratap dengan teresak-esak semasa majlis pengebumian.
Ketua pasukan tersebut, Ami Dokli dalam satu temu bual bersama British Broadcasting Corporation (BBC) baru-baru ini memberitahu, dia cukup sukakan kerjayanya itu dan sudah membantu ramai individu yang tidak mampu untuk meluahkan emosi kesedihan mereka.

“Saya dan pasukan akan datang ke majlis pengebumian sesiapa sahaja hanya untuk menangis.
“Memandangkan menangis untuk orang lain adalah sukar, caj yang dikenakan juga tinggi dan bersesuaian mengikut keadaan.
“Contohnya, jika majlis pengebumian tersebut besar dan memerlukan kami menangis dalam kumpulan yang ramai, kami akan mengenakan caj yang lebih,” ujarnya.
Biarpun kedengaran pelik, Dokli berkata, sudah ramai yang menempah dan menggunakan khidmat ahli kumpulannya.
Ujarnya lagi, dia dan ahli kumpulannya merupakan balu yang sudah kematian suami beberapa tahun dahulu.
Bagi meneruskan hidup, mereka memilih untuk menjadi tukang menangis profesional dan percaya kerjaya tersebut dapat membantu si mati untuk menuju ke alam lain dengan lebih mudah.
Menariknya, kumpulan tersebut juga menyediakan pelbagai jenis aksi tangisan yang boleh dipilih oleh keluarga si mati.
Antaranya, termasuklah menangis sambil berguling-guling, tangisan penuh emosi, meratapi si mati sambil berjalan di atas keranda, menjerit dan juga menangis hingga termuntah.
Sesungguhnya pekerjaan sebagai sebagai tukang menangis di majlis pengebumian merupakan satu perkara biasa di Ghana.
Masyarakat di negara itu juga sanggup berbelanja besar, adakalanya sama dengan sebuah majlis perkahwinan semata-mata untuk mendapatkan khidmat tukang menangis profesional.
Upah yang dikenakan bagi sekumpulan tukang menangis boleh mencecah sekitar AS$15,000 sehingga AS$20,000.
Untuk bayaran tersebut, syarikat yang mengendalikan kumpulan tukang menangis profesional perlu menempatkan seramai mungkin kru untuk meramaikan majlis pengebumian.
Menurut Ketua Persatuan Tukang Menangis Kumasi, Awo Yaadonkoh, kebanyakan keluarga di negara itu tidak kisah untuk berbelanja besar kerana mereka percaya tukang menangis profesional tersebut sebenarnya membantu menjana pendapatan kepada keluarga si mati.
“Semasa majlis pengebumian, orang ramai yang datang melawat keluarga si mati akan menghulurkan sejumlah wang.
“Dengan adanya tukang menangis profesional yang meratap dengan penuh kesedihan, keluarga si mati boleh menjana pendapatan lumayan daripada orang yang melawat si mati,” katanya.