Kerjaya lakonan PU Riz belum berakhir

Andaian pendakwah bebas, PU Riz, 26, sudah mengakhiri kerjaya lakonannya nyata tidak benar. Apatah lagi, berjaya menggenggam trofi Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34 bersama Wanna Ali menerusi filem Ada Apa Dengan Dosa.

Kemenangan pertamanya itu tidak sama sekali menjadi penamat terhadap perjalanan dan minat Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail dalam persada seni.

Pengakuan Riz sekali gus khabar angin mengatakannya sudah tidak mahu terbabit dengan dunia persada seni selepas mendirikan rumah tangga dengan selebriti popular, Neelofa.

“Tiada istilah permulaan atau penamat dalam dunia seni. Jika ada rezeki, saya tidak akan menolak untuk berlakon.

“Tetapi, tentu pilihan saya kisah dakwah dan konsep Islamik. Kenapa saya mahu menolak jika kena pada waktu. Saya boleh sahaja mempertimbangkan tawaran jika ada watak yang sesuai.

Kemenangan pertama PU Riz bersama Wanna menerusi kategori Gandingan Serasi Filem Popular, ABPBH 34 sama sekali tidak menjadi penamat terhadap perjalanan kerjaya seninya. – Agensi

“Saya tidak terfikir mahu menghilangkan diri terus, masih akan ada dalam radar seni.

Cuma, sekarang saya memang banyak kerja dan memikul tanggungjawab termasuk bertugas sebagai guru sementara serta perniagaan,” katanya kepada wartawan.

Riz yang kini turut menjalankan perniagaan menjual pakaian Islamik menerusi jenama Nun Ha ditemui ketika hadir menerima trofi kemenangan bagi kategori Gandingan Serasi Filem Popular, ABPBH 34.

“Apapun, saya mahu mengucapkan terima kasih penganjur, BH dan ABPBH 34 atas pengiktirafan ini, biarpun ada calon yang lagi hebat.

“Saya anggap ini sebagai rezeki dan pembakar semangat,” katanya yang melakonkan watak Khaliq dalam filem arahan Rahila Ali dan terbitan Pencil Pictures & Records.

Mengulas keterbukaannya untuk berlakon di sisi isterinya, Riz yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti, Pencetus Ummah musim keempat itu sangat terbuka. – Agensi