Kerjaya mencabar kaum wanita Syria

HOMS – Tatkala peperangan semakin reda di Syria, kaum wanita Syria mula melibatkan diri dengan lebih banyak peluang pekerjaan berbanding hanya bekerja di pejabat-pejabat dan membesarkan anak-anak apatah lagi bilangan kaum lelaki yang memasuki kerjaya tentera semakin meningkat atau meninggalkan Syria untuk mencari perlindungan.

Kerja-kerja yang dilakukan oleh kaum wanita di negara itu termasuklah memperbaiki kereta, bas atau teksi dan apa yang menarik, menggunakan kren untuk sampai ke garisan kuasa voltan tinggi serta memperbaikinya, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran seperti penentangan daripada keluarga dan takut kepada ketinggian.

Di wilayah tengah Homs, segelintir wanita telah bekerja untuk sebuah syarikat elektrik yang dikendalikan oleh pihak kerajaan dan memakai topi keledar serta memasang garisan panjang kuasa elektrik di kawasan luar bandar, bukan hanya duduk di meja mereka dan melakukan kerja-kerja rutin. Nairuz Youssef, seorang jurutera elektrik di mana suaminya telah berkhidmat bersama dengan tentera Syria, berusaha untuk berkhidmat kepada negaranya dengan cara yang baharu.

Pembabitan kaum wanita

Selama empat tahun yang lalu, Youssef telah melakukan pemeriksaan rutin terhadap penjana dan transformer kuasa, di mana dia membuka pintu logam besar dan menarik keluar peranti elektrik bagi melihat sebarang kerosakan sebelum memperbaikinya.

“Semasa peperangan, sebahagian besar anak muda (lelaki) menyertai kerjaya ketenteraan dan pasukan simpanan serta banyak yang telah terkorban dalam peperangan, disebabkan itu kami kekurangan lelaki sehingga menyebabkan kaum perempuan mula berkecimpung,” katanya kepada media Xinhua.

Di wilayah tengah Homs, segelintir wanita telah bekerja untuk sebuah syarikat elektrik yang dikendalikan oleh pihak kerajaan. – Xinhua

“Kami telah berjaya membuktikan bahawa kami juga dapat melakukan kerja-kerja yang sama sebagaimana dengan kaum lelaki sekali gus sama-sama membangunkan negara selain berperanan sebagai seorang isteri dan juga ibu,” tambah Youssef kepada media.

Youssef yang berusia 33 tahun itu yang menerima pendidikan universiti berkata bahawa keluarganya telah menyokongnya dalam melakukan tugasan itu di mana memerlukan perhatian yang sangat ketat dan terperinci.

Mais Saloum, pekerja elektrik yang lain berkata bahawa dia tidak pernah terfikir untuk bekerja dalam bidang tersebut kerana dia sendiri takut akan ketinggian. “Kerja ini hanya terhad kepada kaum lelaki dan sebelum ini, tidak ada kaum wanita yang melakukan kerja tersebut seperti memanjat menara elektrik sebelum ini di rantau tersebut. Peperangan telah mendorong kami untuk melakukannya,” kata Mais yang berusia 29 tahun kepada media Xinhua.

Dorongan dan sokongan keluarga

Malah suami Saloum tidak mempersetujui idea isterinya itu yang perlu menaiki menara tinggi untuk memperbaiki dawai tenaga berbahaya. Kali pertama dia menarik tali elektrik, dia mengambil swafoto dan menghantar gambar itu kepada suaminya sehingga membuat suaminya berasa kecewa.

“Situasi itu dianggap sesuatu yang baharu dan masyarakat sendiri tidak menggalakkannya, justeru, saya memberitahunya untuk mempercayainya dan menyokong daripada terus hanya mendengar perbualan orang ramai,” kata Saloum kepada media.

Bagi Nisreen Shahin, suami dan ibu bapanya sentiasa menyokongnya dalam melakukan kerja-kerja penyelenggaraan elektrik. Walau bagaimanapun, dia berkata bahawa kali pertama dia memanjat kren dan menuju ke tiang elektrik adalah waktu yang paling menakutkan.

“Kali pertama saya menaiki menara elektrik, saya terkejut kerana krennya bergegar dari udara dan saya khuatir jika saya boleh jatuh ke bawah,” kata Shahin kepada Xinhua.

Semua wanita berkebolehan untuk berdepan dengan ketakutan mereka dan keluar dari zon selesa kerana mereka juga boleh melakukan lebih banyak pekerjaan serta hasilnya akan memuaskan apatah lagi dengan keyakinan mereka yang lebih kuat dari sebelumnya, ibu yang berusia 34 tahun itu berkata kepada media.

Musleh Al-Hasan, Ketua Pengarah Elektrik Homs, memuji wanita Syria kerana telah sama-sama menyertai pembangunan semula negara yang telah dilanda peperangan itu.

“Wanita Syria mempunyai peranan penting dalam hal ini, mereka bekerjasama dengan rakan-rakan mereka bagi memulihkan dan membina semula infrastruktur elektrik yang rosak di Syria,” kata pegawai itu kepada media. – Xinhua