Kerjaya Uyaina di Indonesia tertangguh

Impian Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim mahu bergandingan bersama dalam drama, tetapi rezeki pengacaraan hadir terlebih dahulu.

Bagi pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan dan Curi Curi Cinta itu, kesempatan mengacarakan program Ratu Hijabista bersama Fikry adalah permulaan yang cukup baik.

“Hasrat saya mahu bergandingan dengan Fikry, malah saya sendiri pernah membaca artikel online yang dia juga mengimpikan perkara yang sama.

“Cuma, belum ada rezeki ke lakonan, sebaliknya peluang mengacara bersama yang datang dahulu,” katanya kepada media.

Selebriti yang pernah diangkat sebagai juara pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 itu berkata, sikap Fikry cukup menyenangkan ketika bekerja.

Uyaina Arshad pernah diangkat sebagai juara pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018. – Agensi

“Dia sangat kelakar. Karakternya buat saya pecah perut. Ketika di lokasi, saya tergelak sahaja. Ada saja bahan nak mengusik dan menyakat.

“Namun, Fikry seorang rakan hos yang sangat baik dan menyokong,” katanya.

Dalam pada itu, Uyaina yang turut mencipta nama di Indonesia membuat keputusan melupakan seketika kerjayanya di negara seberang berikutan pandemik COVID-19.

Uyaina berkata, dia hanya akan menyambung kembali kerjaya di Indonesia sehingga wabak COVID-19 terkawal dan vaksin sudah ditemui.

“Dalam keadaan sekarang, saya kena fikirkan soal nyawa dan keselamatan diri berbanding hal lain.

“Jika tidak, saya memang sibuk berulang alik Kuala Lumpur ke Jakarta.

“Apapun, saya mengharapkan COVID-19 segera berlalu,” katanya.

Uyaina yang berjaya menembusi pasaran Indonesia sejak 2018 berkata, dia sebenarnya perlu berada selama enam bulan di Malaysia dan selebihnya di Indonesia atas tuntutan kerja yang sudah dirancang. – Agensi