Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Keropok kupang buah tangan wajib Kg Sungai Melayu

    ISKANDAR PUTERI – Apabila menyebut tentang keropok, yang terlintas di fikiran sudah pasti adalah keropok ikan atau udang yang kebanyakannya dihasilkan di negeri pantai timur.

    Namun pernahkah awda terfikir bahawa terdapat juga keropok yang diperbuat daripada sejenis siput, atau dikenali sebagai kupang.

    Menurut Masriwatee Arrifin, 52, pengusaha keropok kupang Warisan Masyazira Enterprise di Kampung Sungai Melayu, Kota Iskandar di sini, keropok kupang mempunyai keenakan tersendiri.

    “Perusahaan ini sebenarnya warisan kedua-dua ibu bapa saya semenjak tahun 80-an, yang ketika itu mahu memanfaatkan kewujudan penternakan kupang di kampung ini.

    “Bermula dengan skala kecil, ia terus berkembang sehingga dikenali oleh pelancong luar termasuk dari Singapura, yang akan datang ke kampung ini untuk aktiviti ekopelancongan,” katanya kepada Bernama.

    Menurut Masriwatee Arrifin, pengusaha keropok kupang Warisan Masyazira Enterprise, keropok kupang mempunyai keenakan tersendiri. – Bernama

    Masriwatee berkata daripada maklum balas pelanggannya, ramai menyukai rasa keropok itu yang berlemak dan kurang masin berbanding keropok ikan dan udang, sehinggakan ada yang sanggup berkunjung dari Kedah semata-mata untuk mendapatkannya.

    “Ada juga yang kata keropok kupang ini merupakan buah tangan wajib dibeli sekiranya berkunjung ke Johor kerana makanan ini hanya boleh didapati di sini sahaja,” katanya.

    Berkongsi lanjut, Masriwatee berkata penghasilan keropok kupang tidak sukar seperti yang disangka kerana ia hanya melibatkan proses seperti mengopek, merebus dan mengisar isi kupang sehingga halus.

    “Kemudian isi kupang harus diadun dengan tepung ubi, garam dan gula serta diuli sebelum adunannya dibentuk secara memanjang bagi membolehkannya dihiris nipis menjadi kepingan yang akhirnya direbus dan dijemur di bawah cahaya matahari,” katanya.

    Masriwatee berkata secara purata 200 kilogram isi kupang digunakan dalam sebulan untuk menghasilkan kira-kira 600 balang keropok kupang kering yang setiap satunya seberat 150 gram.

    “Selain dijual di gerai sini, produk saya turut dipasarkan menerusi pelbagai platform atas talian seperti Shopee dan Facebook, dengan harga jualan RM10,” katanya yang turut menghasilkan produk kraf tangan daripada cangkerang kupang.

    Untuk perancangan masa depan, beliau berharap dapat mengembangkan lagi skala perniagaan itu bagi menembusi pasaran lebih luas, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...