Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keropok lekor keju Pozi jadi tarikan, rasa tersendiri

    KUALA NERUS – Seorang pengusaha keropok lekor di Terengganu mencipta kelainan dalam mempelbagaikan produk keluarannya dengan menggabungkan limpahan keju di dalam keropok sebagai penyedap rasa.

    Pengusahanya, Mohd Pozi Hassan, 34, berkata keropok keju dan keropok keju mozarela yang dihasilkannya mendapat sambutan amat menggalakkan terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja, sementara keropok lekor asli masih lagi menjadi pilihan golongan dewasa.

    “Keropok lekor keju yang dihasilkan di sini ada dua jenis iaitu satu yang jenis keju di dalam keropok yang mana apabila kita buka keropok itu kita dapat lihat keju di dalamnya dan satu lagi adalah keropok bebola disalutkan dengan sos keju istimewa yang kita sediakan sendiri.

    Keropok lekor keju ni memang sedap. Ada rasa lemak-lemak masin keju tu dan manis ikan, memang kombinasi yang baik dan tidak mengubah rasa sebenar keropok tersebut. Selain itu, pelanggan juga dapat menikmati rasa keropok ini bersama sos yang kami hasilkan sendiri untuk rasa yang lebih sedap,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di Tok Jembal di sini.

    Pekerja Pozi Keropok Lekor merebus keropok lekor sebelum digoreng untuk dijual kepada pelanggan. – Bernama
    Mohd Pozi Hassan menunjukkan bebola keropok lekor yang dilimpahi keju. Keropok lekor biasanya dijual dalam bentuk rebus dan digoreng, namun dengan hasil inovasi baharu pelbagai rasa menggamit pelanggan tempatan dan luar negara. – Bernama
    Inovasi baharu keropok lekor menggabungkan keju sebagai penyedap rasa di Pozi Keropok Lekor. – Bernama
    Pekerja Pozi Keropok Lekor sedang membungkus keropok untuk dijual. – Bernama

    Mohd Pozi belajar membuat keropok dengan mereka yang telah mahir di Gong Badak, di sini dan kemudiannya melakukan inovasi dari semasa ke semasa.

    Selain daripada menjual keropok yang telah digoreng dan direbus beliau turut menjual pelbagai jenis keropok kedap udara yang boleh disimpan dalam tempoh lama sehingga melebihi lima bulan jika disimpan dalam peti sejuk beku.

    Menurut Mohd Pozi, pasaran keropoknya telah memasuki Pahang, Pulau Pinang dan Selangor malah mempunyai ramai ejen khas yang menjadi pembekal.

    Katanya, beliau mampu meraih pendapatan agak lumayan hasil bidang yang diceburinya itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda