Kerosakan di Masjid RPN Kg Pandan disebabkan ribut

Oleh Yusrin Junaidi

BELAIT, 8 NOV – Kerosakan bangunan dan harta benda Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Daerah Belait yang tular di media sosial, baru-baru ini, adalah disebabkan kejadian cuaca hujan lebat, angin kencang dan ribut.

Bencana alam yang berlaku sekitar 10 malam pada 7 November lalu itu telah mengakibatkan kerosakan kepada pintu masuk, siling dan pagar masjid berkenaan.

Sehubungan itu, kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan oleh pegawai-pegawai masjid dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Kampung Pandan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Manakala itu, kerja-kerja pembaikan dan penggantian pintu, siling dan pagar akan dilaksanakan seberapa segera.

Dalam pada itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid merakamkan penghargaan terima kasih atas keprihatinan tinggi orang ramai terhadap kejadian tersebut dan juga terhadap usaha-usaha membaik-pulih kerosakan masjid berkenaan.

Anggota ABDB turut bergotong-royong menjalankan kerja-kerja pembersihan di Masjid RPN Kampung Pandan.
Hujan lebat, angin kencang dan ribut telah menyebabkan kerosakan kepada pintu masuk masjid berkenaan.