‘Kerugian berganda jika stadium terus kosong’

LONDON, 23 SEPT – Kelab sukan dan persatuan di England kini bersiap sedia berdepan ‘kerugian berganda’ bagi tempoh enam bulan lagi selepas pelan untuk membenarkan penyokong untuk memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan pada bulan Oktober telah dibatalkan, kelmarin.

Perdana Menteri Boris Johnson memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak dapat meneruskan rancangan pembukaan semula acara perhimpunan dari 1 Oktober berikutan dengan jangkitan koronavirus yang meningkat secara mendadak.

Boris menjangkakan langkah itu mungkin akan berlarutan sehingga enam bulan lagi, sekali gus menyebabkan sektor sukan kini berdepan dengan kesukaran daripada segi kewangan dan memerlukan sokongan daripada kerajaan untuk menghindari beberapa kelab profesional ditutup dan tidak dapat terus beroperasi.

Ini merupakan tamparan hebat bagi organisasi sukan, yang banyak bergantung pada pendapatan hari perlawanan untuk terus bertahan, dan kini sudah terdapat permintaan dari badan-badan kerajaan untuk mendapatkan dana kecemasan.

Badan-badan pengelola sukan mengadakan pertemuan tergempar dengan Setiausaha Negara bagi Digital, Kebudayaan, Media dan Sukan, Oliver Dowden untuk membincangkan kesan keputusan tersebut.

Pandangan dari sudut tepi Stadium Anfield yang kosong tanpa kehadiran penyokong menjelang permulaan perlawanan EPL pada 12 September lalu. – AP

Sukan profesional, termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL), sebahagian besar dilangsungkan di belakang pintu tertutup sejak ia menyambung semula perlawanan selepas penggantungannya akibat penularan koronavirus awal tahun ini.

EPL menganggarkan kelab-kelabnya akan mengalami kerugian se-hingga AS$255 juta jika stadium terus kosong tanpa kehadiran penyokong sepanjang musim 2020/21.

EPL juga memberi amaran mengenai ‘kesan buruk’ yang terus berlanjutan jika perlawanan bola sepak di stadium tanpa kehadiran penyokong.

“Musim lalu, kelab EPL mengalami kerugian £700 juta dan pada masa ini, permainan kebangsaan kami mengalami kerugian lebih dari £100 juta sebulan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini mulai memberi kesan buruk kepada kelab dan komuniti mereka.” – AFP