Kerugian ekonomi UK cecah AS$29B – Kajian

LONDON, 26 OGOS – Ekonomi Britain akan berdepan kerugian kira-kira AS$29 bilion tahun ini selepas sektor pelancongan merosot akibat penularan pandemik COVID-19, sekali gus memberikan risiko kepada kehilangan tiga juta pekerjaan, sebuah badan industri meramalkan hari ini.

Perbelanjaan pelawat antarabangsa mungkin akan menurun sebanyak 78 peratus dari 2019, setara dengan kerugian £60 juta sehari atau £420 juta seminggu, menurut World Travel & Tourism Council (WTTC) dalam laporan utama.

“Para pelawat dan pelancong kini mengelak daripada mengunjungi UK secara berkala berikutan dengan ketidakpastian mengenai sekatan perjalanan yang dilaksanakan ketika ini bagi mengekang penyebaran COVID-19,” kata WTTC.

“Kesan teruk terhadap perjalanan dan pelancongan di United Kingdom (UK) didedahkan oleh WTTC ketika ekonomi menunjukkan kemerosotan akibat penularan pandemik.

“Hampir tiga juta pekerjaan di UK dalam sektor pelancongan berisiko akan lenyap dalam senario kes terburuk,” tambah WTTC.

Gambar bertarih 7 Ogos 2013 menunjukkan pemandangan umum bangunan pencakar langit di London. Ekonomi Britain bakal berdepan kerugian kira-kira AS$29 bilion tahun ini selepas sektor pelancongan merosot akibat penularan pandemik COVID-19. – AFP

Ekonomi negara itu menyusut satu perlima pada suku kedua, lebih tinggi dari negara jiran Eropah lainnya, ketika penutupan negara itu menyebabkan kemelesetan yang paling teruk dalam sejarah.

Pelancong tetap enggan berkunjung ke Britain selepas UK menjadi negara Eropah yang paling teruk dilanda koronavirus.

Perjalanan juga tidak digalakkan selepas kerajaan UK baru-baru ini mengenakan kembali perintah kuarantin kepada mereka yang kembali dari negara-negara termasuk Austria, Croatia, Perancis, Belanda dan Sepanyol.

WTTC menambah hari ini bahawa London adalah bandar paling teruk terjejas dalam sekor pelancongan kerana sekitar 85 peratus perbelanjaan pelancong di ibu negara itu dijana daripada pengunjung asing.

“Kekurangan perjalanan antarabangsa yang disebabkan oleh wabak itu mungkin akan mendatangkan kerugian lebih dari £22 bilion dalam ekonomi UK sahaja … di mana ia memerlukan masa bertahun-tahun untuk pulih.” – AFP